Gelombang reformasi di Timur Tengah tidak berlaku sekelip mata- Anwar
KUWAIT: Gelombang reformasi politik yang berlaku di Timur Tengah sebenarnya tidak berlaku dalam sekelip mata kerana banyak negara, terutamanya negara ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sudah lama mengambil langkah progresif ke arah demokrasi dan kebebasan.Demikian dinyatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyampaikan ucaptama di majlis Persidangan Pembiayaan Kewangan Islam di Kuwait pagi tadi.
“Mereka yang berfikir kononnya gelombang reformasi politik yang melanda rantau ini muncul secara tiba-tiba sahaja perlu ingat bahawa banyak negara Timur Tengah, terutamanya GCC, sudah lama mengorak langkah ke arah demokrasi dan kebebasan,” kata Anwar.Malah, beliau sendiri sudah pernah menyeru perkara yang sama sewaktu berucap pada forum U.S-Muslim World di Doha hampir lima tahun dahulu, kata Anwar.
Berucap lebih lanjut, Anwar berkata perubahan yang dicapai daripada kehadiran gelombang itu akan lebih bermakna sekiranya ia mengukuhkan demokrasi dan mencambahkan perubahan-perubahan lain yang diingini.“Untuk perubahan ini jadi lebih bermakna, ia perlu mengukuhkan perjuangan demokrasi dan bukan melemahkannya, menambahbaik tata kelola dan bukannya membenarkan rasuah dan kronisme.
“Komitmen kepada perubahan ini juga perlu menambah baik pertumbuhan ekonomi dengan komitmen yang jelas untuk memastikan keadilan ekonomi dan pengagihan pendapatan yang sama rata,” kata Anwar.
Pada masa yang sama, kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir juga mengingatkan kita bahawa dalam sebuah masyarakat demokratik, kuasa dan autoriti mestilah berasaskan undang-undang, kata Anwar.“Ketelusan dan keterbukaan yang lebih meluas perlu dipromosikan dalam pentadbiran sesebuah negara. Kerana itu, sebahagian negara anggota GCC sudah memulakan inisiatif sebagai langkah pertama dengan mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil,” kata Anwar.
Dalam ucapan yang sama, Anwar turut sempat menyentuh tentang kewangan Islam berasaskan prinsip syariah yang lahir daripada konsep Maqasid Syariah yang hangat dibincangkan akhir-akhir ini di Malaysia.“Keperluan pendekatan menyeluruh bermakna Muslim hari ini perlu mengintegrasikannya ke dalam semua aspek kehidupan dalam satu sistem yang adil dan saksama.
Dalam hal ini kita perlu memberikan perhatian khusus kepada kepentingan menyokong sistem keluarga yang kuat, pendidikan, dan memelihara alam sekitar mahu pun membasmi kemiskinan atau pun menyelesaikan sebarang ketidakadilan dalam masyarakat,” kata Anwar.Anwar juga percaya bahawa sistem kewangan Islam mampu membawa pembaikan kepada pentadbiran sesebuah negara.
“Masanya sudah tiba untuk kebangkitan satu sistem kejuruteraan Islam global yang akan memaknakan piawaian tertinggi pentadbiran korporat, akauntabiliti, dan ketelusan,” kata Anwar.KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...