SHAH ALAM: Kemantapan jentera Penerangan KEADILAN mampu membantu Pakatan Rakyat mengalahkan Umno yang diibarat sebagai gergasi yang luka parah, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Apatah lagi, katanya, KEADILAN memiliki banyak peluru berbentuk isu yang mampu menumbangkan gergasi, antara kenaikan harga barang, petrol, penyelewengan kuasa dan gejala rasuah.
Namun, beliau mengingatkan jentera penerangan parti betapa gergasi yang parah akan berbuat apa sahaja untuk memastikan kemenangannya tetap berpihak di tangannya.“Gergasi itu kini luka parah. Tindakannya mungkin tidak terjangkau imaginasi kita. Justeru, kita harus sentiasa bersedia menerima sebarang kemungkinan.“Dulu, ingat habis kes Fitnah I, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dah kena dakwa, kena penjara kemudian bebas, habislah. Rupa-rupanya tak juga. Ada pula kes Fitnah II.“Tidak cukup dengan kes mahkamah. Mereka (Umno) sebar video lucah. Tak habis-habis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Konvensyen Khas Penerangan KEADILAN 5 Jun lalu. Sejak penubuhan parti pada April 1999, ini adalah julung kalinya Konvensyen Penerangan dianjur.Kira-kira 300 ketua penerangan peringkat negeri dan cabang mahupun sayap Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan wanita dari seluruh negara menghadiri konvensyen di Dewan Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, semalam.
Azizah berkata, peranan jentera penerangan penting kerana media arus perdana mengamal pendekatan ‘black out’ terhadap usaha parti dalam membela rakyat.“Sesungguhnya, (konvensyen) ini bertepatan kerana ‘media blackout’ dikenakan ke atas perjuangan kita. Parti sedang meningkat dewasa, tekanan juga bukan kepalang besarnya.“Usaha berterusan dan tindakan kreatif dalam menyampaikan maklumat dan penerangan kepada rakyat harus digalas dengan iltizam yang kuat. Disubur secara berterusan,” katanya.
Kata Azizah, Malaysia wajib diselamatkan lantaran ekonomi dan kualiti kehidupan rakyat terhimpit dan KEADILAN berperanan untuk memulihkannya seluruh sistem bernegara.“Badan kehakiman, institusi polis, SPR, SPRM nampaknya semakin teruk walau setelah 13 tahun kita berjuang. Perjuangan ini wajib kita teruskan. Selamatkan Malaysia,” katanya.KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...