Pages - Menu

Pages - Menu

Khamis, Jun 23, 2011

Himpunan Bersih 2.0 tidak salah - Dr Asri

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak salah dari segi tujuan. 




Ini kerana jelas Dr Asri, matlamat dan tujuan utama Himpunan Bersih 2.0 adalah untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil yang sepatutnya tidak dinafikan oleh kerajaan.

“Jika tujuannya baik dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik... jika tujuannya baik, caranya salah maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah.

“Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.

“Setelah saya mendengar taklimat Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) dan menilainya saya dapati tujuannya baik iaitu menuntut hak yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru jelas beliau, Himpunan Bersih 2.0 perlu diadakan demi masa depan politik yang lebih baik tanpa mengira mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti.

“Maka, saya tidak mempertikaikan Himpunan Bersih 2.0 di sudut tujuannya. Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum kerana tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihan raya,” katanya.

Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0  yang akan berarak ke Istana Negara dari tiga lokasi berbeza.
Menurut Asri (gambar), beliau tidak menolak demonstrasi yang akan diadakan itu akan mengancam keselamatan negara sekiranya ia tidak dikawal oleh pihak berkuasa.

Beliau juga menegaskan demonstrasi sepatutnya menjadi pilihan terakhir setelah tuntutan yang dibuat tidak ditunaikan.Justeru, Asri menasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melaksanakan tuntutan yang dibuat Bersih bagi memastikan sistem pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil.

“Namun oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan, saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan...dan pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai,” katanya.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak.

“Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi Bersih 2.0 hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati,” tegas Asri.

Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menyertai demonstrasi itu agar tidak mencetuskan provokasi yang boleh membawa berlakunya rusuhan.“Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses situ berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa,” katanya.

Tambah Asri, hasrat rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan semua pihak termasuk kerajaan.“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak termasuk polis, rakyat dan golongan atasan.

“Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai perhimpunan Bersih 2.0 merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu dan memastikan perhimpunan itu bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat,” katanya.TheMalaysiaInsider
 Iklan Penaja

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...