Royalti petroleum Pembayaran Royalti Petroleum kepada Terengganu berjumlah RM 938 juta secara berperingkat sehingga Jun 2011 seperti yang disahkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) ke-12 semalam membuktikan bahawa isu 3 batu nautika adalah adalah isu yang sengaja diada-adakan untuk menafikan hak Royalti Petroleum Kelantan.
Pembayaran semula royalti minyak Terengganu ini juga menunjukkan Perdana Menteri mempunyai dua polisi berlainan bagi isu yang sama dan ia memberi petanda aras bahawa slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan adalah slogan kosong tidak bermakna.
Pembayaran kepada Terengganu dengan menafikan hak Kelantan dalam hal ini sedangkan kedua-dua negeri bersempadan dan telaga minyak Kelantan adalah berhampiran menjelaskan hasrat menganak-tirikan Kelantan atas faktor politik. Keadaan ini menunjukkan Barisan Nasional mempunyai dasar yang berubah-ubah dalam isu yang sama.
Pembayaran royalti ini, sebagaimana kenyataan Menteri Besar Terengganu adalah berasaskan perjanjian 1975. Justeru Kelantan dan Terengganu menandatangani perjanjian yang sama 36 tahun yang lalu. Secara jelas asas undang-undang adalah sama. Jika pembayaran terpaksa dibuat kepada Terengganu kerana kehendak perjanjian 1975, jelas tidak ada sebab hak Kelantan dalam hal yang sama dinafikan.
Bagi berlaku adil dan merealisasikan kebajikan secara saksama serta pengembalian hak rakyat Kelantan, Perdana Menteri seharusnya menjelaskan segera pembayaran royalti minyak Kelantan sama sebagaimana yang dilakukan kepada Terengganu.
Sekian terima kasih
Datuk Husam Musa
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan
Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...