Hubungan PAS-DAP: Umno umpama ‘paku dulang paku serpih’, kata Pemuda
March 09, 2011
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Dewan Pemuda PAS menyifatkan Umno bertindak “macam paku dulang paku serpih” kerana terus mempersoalkan hubungan parti Islam itu dan DAP sedangkan pada masa yang sama menjalin kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu.Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan (gambar) berkata, dalam mempertikaikan hubungan dan kerjasama kedua-dua komponen Pakatan Rakyat itu, Umno juga bertindak sebagai “paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga.”
PAS dengan kerjasama DAP dan PKR menjalin kerjasama menghadapi pilihan raya umum ke-12 sebelum membentuk ikatan bersama Pakatan Rakyat.
Kerjasama itu membawa kepada pentadbiran kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan, yang dipimpin PAS sejak 1990.
“Begitu juga orang tua-tua pernah bisik pada saya, Umno ini macam paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Tapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai Umno ini. Kata mereka, paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.
Sehubungan itu soal beliau, siapa yang sebenarnya menjadi alat dan boneka dalam kerjasama seumpama itu.
“Bukankah Umno menjadi alat dan kuda tunggangan dalam Barisan Nasional?” katanya dengan merujuk kepada beberapa perkembangan sejauh mana Umno bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu khususnya Cina.
Katanya, sekian lama Umno bertanding di kerusi Parlimen Raub, Pahang akhirnya menyerahkan kerusi itu kepada MCA, demikian juga kerusi Parlimen Kuantan yang akhirnya Umno terpaksa gadaikannya kepada MCA.
Selain itu kata beliau, Umno pernah menang besar dan memiliki majoriti kerusi berbanding Gerakan di Pulau Pinang semasa dahulu kala, tetapi malang Umno menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti itu.
“Lebih tiga penggal pilihan raya, Umno yang menjadi kerajaan tidak pernah menambah kerusi Melayu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada setiap kali persempadan semula kawasan pilihan raya, sebaliknya menambah kerusi di negeri-negeri lain yang akhirnya mengurangkan peratus majoriti dan penguasaan Melayu di Parlimen. Bukankah Umno menjadi alat dan boneka kepada pihak lain?” katanya.
Nasrudin berkata kelihatan Umno dan BN ‘all out’ menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang-orang Melayu untuk menanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.
“Umno dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat Melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan ‘sepanduk’ mereka bahawa ‘PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan Melayu Umno’.
“Secara sentimennya, sebahagian masyarakat Melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini,” katanya.
Kata Nasrudin, beliau tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini.
Namun katanya, ia bukanlah faktor besar dan sebenar, justeru unjuran undi sokong yang diperoleh oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam, sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihan raya kecil.
Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP, Nasrudin berkata, beliau mahub seluruh rakyat khasnya umat Islam mengkaji kebijakan Nabi Muhammad s.a.w bertindak melalui seerah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekali gus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliah.
“Kenapa Umno dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP? Bagaimana pula dengan Umno sendiri yang berselimut toto dengan MCA dan MIC? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India?
Atau ada yang lebih Cina dari MCA dan terlebih India dari MIC? Perangai Umno ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah Arab Dia pukul aku dia yang menangis, dia fitnah aku dia yang mengadu.”TheMalaysiaInsider
Komen : Setuju sekali Umno sebenarnya pengkianat kepada orang-orang melayu...kepada orang melayu yang masih menyokong umno tu berubahlah!!! memberi sokong kepada parti Islam (PAS).Buang yang keruh, ambilah yang jernih...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...