Pages - Menu

Pages - Menu

Khamis, Disember 23, 2010

Pengarah Besar Felda Memujuk Peneroka Jangan Saman

Felda 'rayu' jangan saman


Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 23 Dis: Sudah terhantuk baru terngadah. Begitulah yang diibaratkan kepada pekeliling daripada Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang disifatkan memujuk peneroka supaya tidak menggunakan saluran undang-undang bagi menuntut hak mereka.


Naib Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Aris Fezul Ismail, menyifatkan risalah bertajuk ‘Penyelesaian masalah, Isu atau Pertelingkahan Melalui Kaedah Timbang Tara’ yang diedarkan kepada peneroka-peneroka serta dibacakan isinya di masjid-masjid di sini seolah-olah melambangkan keresahan Felda menghadapi kebangkitan peneroka.


Antara lain, risalah dua helai itu menyatakan tindakan saman oleh peneroka terhadap agensi pembangunan tanah itu didakwa telah menyebabkan wujud suasana yang tidak harmoni antara peneroka dengan pengurusan Felda.


Kandungan risalah tersebut turut membangkitkan, surat perjanjian asal antara peneroka dengan Felda telah memperuntukkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan antara kedua belah pihak perlu dirujuk kepada Penimbang tara iaitu Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab kepada Felda.


Aris yang juga Setiausaha Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat mempertikaikan, kenapa baru kini iaitu selepas peneroka menang saman di Felda Kemahang 3 dan Felda Sungai Koyan timbul tawaran menyelesaikan lambakan permasalahan peneroka melalui kaedah Timbang tara.


“Sebelum ini Anak sendiri pernah menghantar memorandum kepada Pengerusi Timbang tara iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi jangankan kata penyelesaian, respons pun tidak ada. Bahkan kalau kita dengar baru-baru ini bagaimana PM dengan angkuhnya menempelak siapa kata Felda bankrap adalah pengkhianat. Bolehkah orang seperti ini mahu dirujuk sebagai penimbang tara?


“Bukan itu saja, baru-baru ini Anak telah menyerahkan memorandum 20 perkara berkaitan masalah peneroka kepada Timbalan Menteri yang menjaga Felda Datuk Ahmad Maslan yang konon katanya nak selesaikan dalam tempoh dua minggu. Tapi sekarang dah hampir dua bulan, respons pun tak dengar.


“Di Pahang ini sendiri, Exco yang menjaga Felda Datuk Tan Aminuddin. Apabila peneroka membangkitkan hak mereka yang diceroboh pada satu ketika dulu, beliau bingkas mencabar mana-mana peneroka yang tak setuju dengan Felda boleh keluar dari tanah rancangan. Pada saya ini satu kenyataan angkuh seolah-olah peneroka-peneroka ini menumpang dan mengemis sedangkan mereka tuan tanah,” hujahnya.


Tambah Aris, suasana yang tidak harmoni dicetuskan sendiri oleh pengurusan Felda. Contohnya dalam kes Felda Kemahang apabila Ketua Hakim Negara berkata Felda terbukti menipu peneroka dalam kes kadar perahan gred (KPG) sawit, Felda masih tidak mengaku kesalahan malah enggan membayar ganti rugi kepada peneroka.


“Begitu juga dengan kes peneroka Felda Sungai Koyan yang mana mahkamah telah putuskan peneroka layak menerima wang tabung tanam semula (TTS) tetapi menterinya kata Felda memang nak bayar sedangkan dalam mahkamah peguam mereka bermati-matian berusaha supaya Felda tidak mahu bayar. Pada saya sikap seperti ini semua tidak membawa keharmonian,” katanya.


Mengenai saranan Pengarah Besar Felda agar peneroka mengemukakan sebarang aduan dan permasalahan kepada pengurusan rancangan melalui blok, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Pertubuhan Wanita (GPW) dan pertubuhan belia, Aris berkata ia hampir mustahil kerana semuanya dilantik oleh Felda dan bukan dipilih oleh peneroka malah dikuasai parti politik kerajaan.


“Barangkali Datuk Dzulkifli tidak turun ke bawah melihat bahawa kebanyakan pemilihan ketua-ketua blok yang mewakili 24 orang ahli dipilih berdasarkan mana yang Felda suka, bukannya pilihan peneroka secara mutlak. Naib Pengerusi JKKR yang sepatutnya dipilih melalui mesyuarat agung, tapi hanya ditentukan oleh Felda. Jadi dia mewakili Felda, bukan suara peneroka. Sebab itu dapat dilihat bagaimana sikap mereka terhadap peneroka tanam sendiri iaitu seperti anak tiri yang melakukan satu kesalahan besar.


“Pertubuhan belia pula hanya ada pada nama saja. Mesyuarat agung pun tak pernah sehingga tak tahu siapa AJK. Mana perginya peruntukan kewangan? Sama jugalah dengan AJK masjid, bukan dilantik melalui mesyuarat agung,” jelasnya.HarakahDaily

 Komen : Saman saja jangan bagi bagi muka lagi kepada felda...sudah banyak penipuan yang dilakukan baru terheges-heges nak bincang..wahai rakyat felda berilah peluang kepada pakatan rakyat untuk menguruskan pertabiran negara pada PRU13 ni...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...