Pages - Menu
▼
Pages - Menu
▼
Khamis, November 18, 2010
Sokongan Melayu Bertambah Baik, Nizar Yakin Tawan Perak
SHAH ALAM 18 NOV: Sokongan Melayu terhadap Pakatan Rakyat (PR) di Perak menambah keyakinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin bahawa negeri itu kembali ditawan pada pilihanraya akan datang.
Ketika ini ujar Nizar yang disingkirkan secara tidak bermoral oleh Umno-Barisan Nasional(BN) menyatakan ketika ini PR mengorak langkah komprehensif mendekati masyarakat Melayu dengan memberi jaminan kedudukan kaum itu tidak akan tergugat sekiranya mengambil alih tampuk kepimpinan negeri itu.
Nizar menyifatkan kegusaran utama kaum majoriti di negeri itu meliputi kepentingan kaum Melayu, agama Islam dan institusi DiRaja yang sering diracuni Umno-BN.
"Pakatan Rakyat tidak menggugat kedudukan orang Melayu, yang kedua Pakatan Rakyat tidak menggugat kedudukan Islam dan yang ketiga PR tidak menggugat institusi DiRaja," tegas Nizar ketika dihubungi TV Selangor.
Menurut beliau ini merupakan tiga perkara pokok yang dimainkan Umno-BN sehingga kini justeru pakatan pembangkang secara agresif menangkis tanggapan buruk yang cuba diterapkan kepada minda rakyat.
Di peringkat kampung, Nizar berkata pendekatan berbeza yang dilaksanakan PR secara langsung memberi peluang pemimpin-pemimpin Pakatan mendengar respon masyarakat justeru memperkasa pendekatan pakatan pembangkang memenangi hati masyarakat Melayu di negeri itu.
"Bahkan sebelum Hari Raya Korban kami edarkan risalah. Kedua kita ada ceramah 'come' forum. Dalam ceramah itu kita berhenti sekejap dan kita suruh orang-orang yang dengar itu naik ke atas pentas, mereka pun boleh ceramah 10 minit," jelas Nizar kepada TV Selangor.
Memetik laporan The Malaysian Insider semalam, Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham yang baru dilantik semula optimis sokongan masyarakat Melayu semakin pulih di Perak setelah meneliti tindakbalas kejadian rampasan kuasa Umno-BN dua tahun lalu.
Selain itu Ngeh turut mengakui kredibiliti Nizar Jamaluddin berdasarkan merit dan sokongan yang diperolehi daripada rakyat.
Nizar berkata lagi, sokongan parti pakatan pembangkang DAP dan PKR menakjubkan dalam usaha menerap kepercayaan rakyat terhadap pelaksanaan menyeluruh konsep pemerintahan demokrasi mutlak menyingkirkan corak diktator Umno-BN yang melebihi separuh abad.
Disamping itu, Nizar yakin pendekatan Umno-BN menabur duit kepada rakyat meraih sokongan adalah konsep kuno sebaliknya kepercayaan dan pengalaman merupakan tunjang kepimpinan yang dituntut membela kepentingan rakyat.
"Kita tidak bagi duit tapi kita beri pengalaman tetapi kesan itu memberi makna baik sebab kita terus pergi kepada pengundi.
"Saya sendiri dengan kepimpinan, kami ada enam tempat di Perak ini yang kebanyakkannya tempat orang Melayu. Kami pergi sebulan dua kali ke kedai-kedai kopi di kampung dan kami bersama-sama penduduk samada gotong-royong atau makan. Itu kita buat hendak mendekati dengan rakyat di kawasan Melayu," jelas beliau lagi.
Menyentuh isu sumber kewangan yang telah digunakan Pakatan Rakyat membiayai kos peguam menentang Umno-Barisan Nasional di mahkamah dua tahun lalu, Nizar berkata kos yang kurang dari RM100 ribu itu tidak membebankan dan telahpun diagihkan kepada setiap parti dalam Pakatan Rakyat.
"Cara kita hendak mengutip dana itu, bahkan sebahagian besar kita sudah bayar kepada peguam-peguam kita. Setengah lagi kita bernasib baik sebab bila kita buat jamuan makan malam khususnya oleh DAP, biasanya meja-meja habis dijual. Jadi itu tidak ada masalah punca dana mahu bayar balik peguam-peguam yang memberikan khidmat," jelas beliau lagi.
Tambahnya, peguam-peguam yang dilantik tidak menggenakan bayaran penuh sebaliknya hanya kos material sahaja untuk menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.
Dalam pada itu, Nizar memberi jaminan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Perak yang dijadualkan bermula 30 November nanti akan memperlihatkan perdebatan profesional ahli-ahli DUN kerajaan dan pembangkang.
Beliau turut menolak kemungkinan tercetus kekecohan seperti yang berlaku dahulu.
"Jadi untuk itu persidangan ini kita akan hormat keputusan mahkamah dan kita akan bersidang secara profesional. Cuma kita mahu tengok Barisan boleh beri masa panjang atau tidak." katanya.
TVSNEWS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...