Pages - Menu

Pages - Menu

Rabu, November 17, 2010

Saifuddin : Sistem Satu Ahli Satu Undi Untuk Masa Depan PKR

MACHANG 17 NOV : Parti Keadilan Rakyat tidak  akan tunduk kepada kritikan, tuduhan  dan ugutan melulu terhadap pemilihan parti malah  tetap komited untuk menyemarakkan  demokrasi tulen yang memberikan hak mengundi kepada setiap ahli.

Setiausaha Agung PKR  Saifuddin Nasution berkata sistem satu ahli satu undi yang diperkenalkan pada  pemilihan kali ini adalah sejajar dengan matlamat memberikan akar umbi hak menentukan corak kepimpinan parti.

" Bukan sebab hendak sangat PKR dilihat mempunyai kelainan. Tetapi prinsip dan falsafah yang mendorongnya. Kita percaya kepada prinsip memberikan hak dan juga kepada setiap anggota yang sebenarnya boleh dianggap bijak dan mampu berfikir bagi menentukan corak kepimpinan yang mereka hendak amanahkan bagi menerajui kepimpinan parti," kata Saifuddin kepada Tv Selangor, melalui segmen bual bicara, Terus Terang.      

PKR menempa sejarah apabila menjadi parti politik pertama di Malaysia memperkenalkan sistem pemilihan secara langsung dengan setiap ahli di peringkat cabang berhak  memilih pemimpin peringkat nasional.
Namun pemilihan beberapa cabang tercemar dengan tuduhan proses pengundian tidak telus termasuk  pengiraan kertas undi selain provokasi luar dari bukan ahli parti.

Bekas Menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim menggunakan dakwaan-dakwaan  itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan saingannya sebagai Timbalan Presiden dan bertindak keluar dari parti.

Segala pergolakan itu dilaporkan oleh media arus perdana kawalan Umno-BN  sebagai krisis paling hebat dalam PKR.

Namun Saifuddin berkata  segala tuduhan  mesti ditangani secara tenang dan dinilai dari konteks yang betul.  Tidak ada keperluan untuk parti menekan “butang kecemasan”, tegas beliau. 

" Kita kena ingat sistem pemilihan yang adil adalah satu proses   terbuka yang mengundang segala macam masalah, sama ada reaksi dari orang luar mahupun orang dalam . Itu tidak dapat dielakkan. 

" Reaksi dari orang luar kita anggap sebahagian daripada minat mereka terhadap proses ini. Reaksi daripada orang dalam,  baik yang berupa aduan, komen, kritik, adalah satu lagi perkara yang berlaku secara terbuka.  Kalau mereka salurkan melalui saluran parti, kita akan tangani cara saluran parti. Kalau mereka memilih untuk meletupkannya secara terbuka, kita akan hadapi secara terbuka," tambah Saifuddin lagi.

Saifuddin menegaskan PKR adalah sebuah parti masa depan, lalu harus "berani" membawa perubahan hatta mencuba sesuatu yang baru.

Beliau berkata dengan memperkenalkan sistem pemilihan secara langsung, PKR memberikan petunjuk jelas bahawa ia adalah sebuah parti untuk  masa depan.

" Politik itu bersifat dinamik. Yang namanya politik itu bukan sesuatu yang berbentuk statik. Mesti ada keberanian untuk mencuba  sesuatu yang baru. Bermula dengan proses penamaan calon biar pun belum pernah dilakukan oleh mana-mana parti,"katanya.

Berbeza dengan parti perkauman seperti Umno dan rakan parti  komponennya dalam Barisan Nasional, PKR  bergerak jauh ke hadapan dengan mendokong suara  rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman agama, kata Saifuddin.

Atas sebab itu,  kira-kira 400,000 ahli PKR di seluruh negara berjaya disatukan di bawah satu bumbung parti dengan komposisi 50 peratus masyarakat berbangsa Melayu, 23 peratus India, 12 peratus cina dan 15 pelbagai etnik dari Sabah Sarawak.

" Kalau hendak dilihat dari rupa wajah politik Malaysia akan datang, cerminannya sudah ada pada parti Keadilan,” kata beliau.  

Namun beliau menegaskan  PKR  yakin, sistem pemilihan sebegitu adalah cara terbaik untuk menzahirkan konsep perjuangan yang dibawa olehnya.

" Saya fikir untuk jangka masa panjangnya, dari sudut falsafah, dari sudut prinsipnya, saya percaya parti Keadilan sedang bergerak pada landasan yang betul untuk memberikan satu rupa dan wajah baru kepada politik negara pada satu masa nanti,"tambahnya lagi.


Sumber : http://wargamarhaen.blogspot.com/2010/11/saifuddin-sistem-satu-ahli-satu-undi.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...