Harakahdaily |
PETALING JAYA, 27 Nov: Walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru sahaja meraikan ulangtahun ke-12 sejak ditubuhkan pada 4 April 1999, namun usaha membela rakyat diteruskan. Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, dalam usia semuda itu juga PKR telahpun mencapai banyak kejayaan yang di luar dari kebiasaan. Tambahnya, bersama-sama dengan Pakatan Rakyat, parti itu telah berjaya menawan 5 buah negeri dan menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional dalam PRU 12 yang lalu. Dalam usia semuda itu, ujarnya PKR telah bergerak pantas mewarnai iklim politik negara secara drastik. “Maka itu, usahlah kita gundah dan gulana dengan segala pancaroba. Demi perjuangan menegak keadilan, kita perlu terus melangkah dan mara. Membujur lalu melintang patah. “Perjuangan membela rakyat perlu terus membara,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan ke-7 di sini, pagi ini. Turut hadir ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar. Sesungguhnya, kata beliau di tahap ini, PKR masih berada di peringkat awal dalam kelok pembelajaran (the learning curve), dalam perkembangan menuju kemantapan dan kematangan. “Apatah lagi khususnya, kita ini adalah sebuah parti politik. Fitrah setiap ‘learning curve’ adalah pengalaman jatuh bangun dan naik turun. Setiap kali jatuh, kita perlu terus bangun, menilai dan memperbaiki kelemahan,” ujarnya lagi. Kemudiannya, kata beliau segera terus melangkah kehadapan secara lebih berani dan berkeyakinan, yang dinamakan “sunnanul kaun” atau “the law of nature”. Beliau menambah, jatuh dan silap dalam mengatur langkah tidak perlu dijadikan kesalan dan menjadi pesimis melulu hingga melupakan hakikat potensi untuk menjadi lebih baik di masa hadapan. “Sesungguhnya, perjuangan dan cita-cita kita adalah amat besar. Demi membela nasib rakyat, kita ingin membina budaya baru dalam politik negara,” katanya lagi. Justeru, ujar beliau reformasi dan perubahan dimulakan dalam diri dahulu di mana martabat setiap ahli diangkat tinggi. Setiap ahli, katanya diberi peluang sama rata untuk bersuara dan memberikan sumbangan. “Maka kita secara berani meluluskan dasar Satu Anggota Satu Undi dalam menentukan barisan kepimpinan,” ujarnya. Menurutnya, tiada suatu parti lain di negara ini dan di Asia Tenggara yang berani melakukannya. Tambahnya, malah PKR memulakannya di saat pihak musuh begitu fobia dengan demokrasi yang bergerak cergas menyuburkan demokrasi. Di sebaliknya, kata beliau Umno dan BN tanpa segan silu berterusan merencatkan demokrasi di mana seluruh agensi dan aparatus yang boleh memperkasakan demokrasi telah dikembirikan. Di samping itu, tambahnya pelbagai akta menyekat kebebasan rakyat terus diwujud dan dilaksanakan. “Semua ini dilakukan demi mengekalkan jaminan mereka terus berada di tampuk kekuasaan dan meneruskan penindasan dan kezaliman kepada rakyat,” ujarnya. |
Pages - Menu
▼
Pages - Menu
▼
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...