Pages - Menu

Pages - Menu

Sabtu, November 20, 2010

Pemimpin Perlu Pendirian Teguh Pikul Amanah Rakyat


Dari Tv Selangor

Pemimpin-pemimpin parti perlu berpendirian teguh memikul amanat rakyat dengan tidak berpaling tadah menghentam benteng demokrasi utuh perjuangan parti tegas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
Anwar membidas sikap pengkhianatan individu yang bertalu-talu menyerang kepimpinan dan perlembagaan PKR dari dalam menggunakan media milik Umno-Barisan Nasional sebagai platform mengugat fokus keutamaan parti itu.
“Saya tidak boleh terima orang yang menyerang parti berulang kali guna media Umno dan hina sahabat perjuangan termasuk Syed Husin Ali,” tegas beliau.
Dalam ucapan Rapat Umum bersama negeri Selangor di Auditorium MBSA, Shah Alam, beliau tidak mahu memberi komen negatif, Datuk Zaid Ibrahim yang baru mengumumkan keluar parti menjadi subjek keraguan halatuju PKR justeru terus memberi tumpuan kepada prinsip menegakkan keadilan.
“Bukan kerja saya mahu ulas kenyataan Zaid tapi kerja saya hendak mengangkat PR.
“Saya tidak mahu dalam pertarungan ini, kita beri kata-kata kesat kepada beliau (Zaid). Biar sahaja,” kata beliau di hadapan lebih 2000 ahli PKR di negeri Selangor yang memenuhi auditorium itu.
Bertemakan ‘Anwar Ibrahim Pengemudi Zaman’, Anwar mengakui beliau tidak pernah neutral dalam perjuangan parti dan turut optimis akan berjaya memperoleh keadilan di negara ini melalui rombakan sistem kerangka PKR.
Menyifatkan PKR bukan sebagai parti biasa, ketua pembangkang itu mengingatkan anggota bahawa kewujudan PKR merupakan rentetan kebangkitan golongan kelas bawahan yang menuntut perubahan dan bukan perjuangan untuk dirinya.
“Parti ini bukan parti politi biasa, ini parti kebangkitan rakyat. Saya berani kata, parti ini didukung kelas bawahan. Orang bawahan yang tertindas bangkit menuntut perubahan,” jelas beliau disambut tepukan gemuruh anggota-anggota yang hadir.
Anwar menyeru anggota-anggota PKR bersedia menghadapi perubahan sekiranya mahukan kematangan dan menyelamatkan parti.

Selain itu beliau berkata, pemilihan kepimpinan PKR tidak perlu dijadikan isu kepincangan masalah dalam parti membuka ruang serangan pihak lawan sebaliknya terus mengingatkan fokus menggugurkan kedudukan Umno sebagai kerajaan.
Justeru beliau menyeru pemimpin-pemimpin yang dipilih anggota parti untuk mengangkat daya kepimpinan dalam PKR
“Dalam kepimpinan saya tidak peduli menang, kalah. Buat apa mahu jadi ‘jaguh kampung’. Yang hendak dilawan Umno.
“Kalau pemimpin bersikap macam orang bawah, baik turun bawah dan beri peluang orang buat naik atas untuk berucap,” ujar beliau.
Pemilihan PKR yang hanya tinggal dua hari, Anwar turut menyeru anggota-anggota untuk keluar memilih calon kepimpinan parti itu selain tidak mengiktiraf pemimpin yang menang dengan jumlah undi yang kecil.
Dalam pada itu, Anwar berpendapat Umno-Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai ruang untuk menyerang PKR sebaliknya menggandakan usaha mencuri ahli-ahli yang kurang pendirian dalam parti.
Tambahnya lagi, Umno-BN telah lama terputus hubungan dengan kehendak rakyat seraya memberi kepada PKR untuk membuktikan perjuangan telus menuntut demokrasi mutlak di negara ini.
“Mereka (Umno) hanya boleh ganggu dari dalam. kerana itu kita sibuk dengan masalah dalaman.
Anwar mengambil contoh aduan yang diterima berhubung pemilihan pucuk pimpinan PKR di cabang-cabang bukan penghalang parti itu berlaku terus sebaliknya beliau menyatakan keengganan mempertahan kesilapan dalaman parti justeru bertegas mengemukakan bukti dan fakta agar tindakan dapat dilaksanakan.
Anwar menasihati menghentikan masalah dalaman parti sebaik berlangsungnya kongress PKR 27 November nanti. Beliau menyarankan agar Senator Syed Husin Ali terus membantu mengemudi PKR.
Sementara itu, Anwar turut memuji prestasi cemerlang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang berjaya mengangkat martabat negeri Selangor memberi keselesaan kepada rakyat dalam pemerintahan selain menyeru agar Pakatan Rakyat mempertahankan kubu kuat parti itu.
“Selangor kubu terpenting PR. Semua orang mahu rampas Selangor, Khir Toyo, Noh Omar. Tapi kita berjaya tangkis serangan,” katanya.
Rapat Umum anjuran PKR negeri Selangor yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam malam tadi mendapat sambutan meriah anggota-anggota parti dan berakhir pada jam 12 malam.

Hadri Yaziz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...