Oleh Nazli Ibrahim (FMT)
PETALING JAYA: "Hentikan kenyataan mengugut nak bersih kuda trojanlah, nak bersih pengkianatlah," demikian kenyataan sinis Chegu Bard berhubung tindak-tanduk beberapa pemimpin yang masih lagi bermain dengan teori ‘kuda trojan’ dalam Parti Keadilan Rakyat.
"Sebagai pemimpin besar memang betul harus membersihkan parti tetapi kenyataan mereka harus diikuti dengan pelaksanaan yang jujur dan penting juga mereka harus bertindak sebagai penyatu dalam parti.
"Dalam perihal ini nampaknya Shamsul jauh lebih baik dari Azmin di mana kenyataan pertama dia selepas minggu terakhir pengundian ada menyeru agar ahli PKR merapatkan saf kembali," ujar Chegu Bard lagi.
Menurut beliau lagi, walaupun pemilihan PKR telah pun berakhir minggu lalu, namun harapan untuk membersihkan parti dari penyelewengan masih ada.
"Harapan untuk membersihkan parti tetap ada. Tidak mengira samada musim pemilihan atau tidak, berjawatan atau tidak. Apa yang penting perjuangan diteruskan. Selagi ada Tuhan selagi itu ada harapan," kata beliau kepada FMT lagi.
Anwar masih terbaik
Disamping itu, beliau mengakui anak-anak muda tidak banyak pilihan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selain menjadikan PKR sebagai landasan perjuangan.
"Kepada anak muda kita tidak punya banyak pilihan untuk menentang BN secara peribadi. Setakat ini parti ini ialah parti paling progresif untuk perubahan negara.
"Anwar pula ialah kereta kebal terbaik untuk kita berdepan merempuh regim warisan penjajah BN ini. Anwar ada karisma penyatu, setakat ini parti dan Anwar tidak sempurna tetapi masih yang terbaik.
Beliau turut menyeru agar ahli politik muda dalam PKR agar tidak mengamalkan politik naungan sebaliknya bina kekuatan sendiri.
"Anak muda mesti keluar dari kepompong politik naungan, bina kekuatan sendiri dan bersama bangkit merempuh untuk perubahan," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...