Pages - Menu

Pages - Menu

Isnin, September 30, 2019

BANGUNLAH WAHAI MAJLIS PRESIDEN


Majlis Presiden PH kini tidak ada pilihan lain selain harus segera bertindak menyelesaikan pertikaian yang nampaknya berterusan berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.
Walaupun sebelumnya sudah ada persetujuan untuk Tun Mahathir menyerahkan jawatan itu dalam tempoh dua tahun, tetapi sebagaimana yang kita sedia maklum, kenyataan beliau sering berubah-ubah daripada semasa ke semasa.
Terbaru dikatakan beliau mahu tiga tahun pula sebagai Perdana Menteri.
Dengan itu, isu tersebut bukan saja telah meretakkan, malah menjadikan PH terus berpecah-belah.
Perkara ini jika dibiarkan pastinya akan menjadikan kemungkinan PH hanya kerajaan sepenggal lebih mungkin menjadi kenyataan.
Rakyat juga tentunya muak kerana sejak lebih setahun yang lalu, isu yang sama terus menjadi pertikaian tanpa ada sebarang titik penamatnya.
Tiada cara lain untuk mengelakkan perkara itu daripada berterusan menjadi pertikaian melainkan Majlis Presiden PH mesti segera bermesyuarat dan menetapkan tarikh khusus peralihan kuasa yang telah dijanjikan itu.
Hal ini bukan saja berikutan desakan Syed Husin Ali berkenaan perkara itu, bahkan itulah juga sebenarnya yang dinanti-nantikan oleh rakyat, khususnya penyokong PH sendiri selama ini.
Blog ini sendiri sudah berkali-kali, malah tidak henti-henti membangkitkan perlunya tarikh peralihan kuasa kepada Anwar itu segera ditetapkan memandangkan PH ini, jika tanpa Anwar mengasas dan menggembleng kekuatannya sejak 1998, ia tidak mungkin berupaya menumbangkan BN pada PRU14 lalu.
Kenyataan terbaru Tun Mahathir di New York yang kemudian membuatkan Syed Husin bersuara mengecam Majlis Presiden PH, badan itu mesti segera bangun dan bertindak tanpa membuang masa lagi.
Majlis Presiden PH harus secepatnya membincangkan dan membuat keputusan berkenaan peralihan kuasa agar tiada lagi sebarang keraguan yang timbul.
PH mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka adalah berbeza dengan BN sebelum ini yang mana Perdana Menteri daripada UMNO berkuasa sepenuhnya memilih pengganti mengikut selera dan kehendaknya.
Sebaliknya, dalam PH, yang berkuasa ialah Majlis Presidennya yang akan membuat keputusan secara konsensus, bukan Perdana Menteri.
Dalam hal pengganti Perdana Menteri, calonnya sudah pun ada dan yang menjadi isu hanya bilakah peralihan kuasa itu sepatutnya dilaksanakan.
Memandangkan Tun Mahathir sudah berusia 94 tahun dan hidup dalam usia bonus, maka adalah penting sebenarnya penetapan tarikh itu tidak lagi dilewat-lewatkan.
Bak kata pepatah, sediakanlah payung sebelum hujan.
Tetapi, jika selepas ini Majlis Presiden masih juga diam dan tiada apa-apa tindakan diambil untuk menyelesaikan isu peralihan kuasa itu, tanggapan umum tidak lain ialah pemimpin-pemimpin utama PH memang benar telah “dibonsaikan” dengan kedudukan dan jawatan dalam kerajaan sehingga hilang suara untuk menegakkan kebenaran.
Mahu tidak mahu, perangai mereka sebenarnya saling tak tumpah seperti para pemimpin UMNO sebelum ini yang syok dengan kedudukan dan jawatan serta tidak berani menegur Najib Razak kerana jawatan Perdana Menteri yang disandangnya.
Tidak malukah pemimpin yang ada dalam Majlis Presiden PH dengan perangai mereka yang sama saja seperti UMNO itu? (Shahbudindotcom 29/09/2019)

Picture

Jumaat, September 27, 2019

RESPON KEPADA KADIR JASIN - ANTARA 2020, 2030 DAN 2050, TENTULAH 2020 PALING MUNASABAH

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin berkata, tiada tarikh khusus ditetapkan berhubung peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada pengganti yang telah dipersetujui, Anwar Ibrahim.
Kata beliau, tiada dokumen dalam PH yang menyebut mengenai tempoh masa itu.
“Persetujuan itu dalam mana-mana dokumen pun tidak dinyatakan tarikh.
“Tahun 2020 ke, 2030 ke atau 2050 pun tak dinyatakan bilakah tarikhnya,” kata Kadir lagi.
Bagaimanapun, Kadir tetap yakin Tun Mahathir akan berpegang dan menunaikan janji penyerahan jawatan Perdana Menteri itu kepada Anwar sebagaimana yang telah dipersetujui.
Apa yang disebut oleh Kadir itu memanglah betul lagi sahih bahawa tiada ketetapan tarikh yang disebut dalam perjanjian peralihan kuasa, tetapi haruslah disedari tempoh dua tahun mahu memegang jawatan Perdana Menteri telah dinyatakan sendiri oleh Tun Mahathir.
Kata beliau, tempoh dua tahun bermula 10 Mei 2018 menjadi Perdana Menteri adalah memadai untuknya melaksanakan tugas memperbaiki kerosakan dan memulihkan keadaan negara yang ditinggalkan oleh Najib Razak.
Ditambah dengan kesedaran bahawa ketika mengangkat sumpah jawatan itu Tun Mahathir sudah berusia 93 tahun, maka dua tahun iaitu sehingga tahun 2020 atau menjelang usianya 95 tahun adalah masa yang sesuai untuk beliau berundur dan menyerahkan kepada penggantinya, Anwar mengambil alih teraju pentadbiran negara.
Jika tahun 2020 pun Tun Mahathir sudah berusia 95 tahun, di tahun 2030 bermakna beliau akan berusia 105 tahun.
Adakah Tun Mahathir akan panjang umur sehingga usia 105 tahun?
Kalaulah sehingga tahun 2030 Tun Mahathir masih hidup – syukur Alhamdulillah – tetapi keadaan beliau berucap yang ketika ini sering tersekat-sekat dan kadang-kadang perlu pembantu mengulangi soalan wartawan kepadanya, rasanya hampir mustahil beliau ada keupayaan lagi untuk menjalankan tugas sehingga tahun tersebut.
Malah jika sehingga habis penggal iaitu tahun 2023 Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri di mana ketika itu beliau akan berusia 98 tahun, rasanya itu pun sudah terlalu lewat dan tiada keupayaan lagi baginya.
Tahun 2050 tentulah lebih tak terfikir kita kalau Tun Mahathir masih hidup, apalagi kalau masih sihat seperti hari ini.
Bermakna, antara tahun 2020, 2030 dan 2050, paling sesuai, munasabah dan paling tepat untuk Tun Mahathir melakukan penyerahan jawatan ialah pada 2020.
Tiada tarikh lain yang lebih sesuai daripada itu.
Tambahan lagi, sesuai dengan Wawasan 2020 yang dicipta oleh Tun Mahathir, menunaikan janji penyerahan jawatan pada tahun yang sama tentu saja akan membuatkan namanya lebih dihargai dan disanjung tinggi.
Pastilah buruk bunyinya jika tahun 2020 nanti dikenang sebagai tahun Tun Mahathir memungkiri janjinya kepada Anwar yang terbukti telah bersikap tulus, pemaaf serta sedia berganding bahu demi menumbangkan UMNO dan BN, seterusnya menyebabkan permusuhan kali kedua tercetus kembali.
Dalam hal ini, apabila Kadir menyebut tahun 2020, 2030 dan 2050, beliau seakan-akan cuba mengingatkan Tun Mahathir bahawa tiada tahun lain selain 2020 untuk bossnya itu melepaskan jawatan atau jangan lupa janji kepada Anwar yang selalu disebut dan diulang-ulangnya sendiri serta akan tetap ditepatinya itu.
Terima kasih Kadir!! (Shahbudindotcom 23/09/2019)

Picture

Khamis, September 19, 2019

Anwar Ibrahim sangkal ada individu lain mahu rebut jawatan PM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menolak laporan bahawa terdapat calon lain sedang dipertimbangkan untuk menggantikan tempat perdana menteri.
"Tiada tanda mana-mana pihak memperkenalkan atau mempromosikan atau melobi nama-nama lain.
"Ini tidak menghalang individu lain yang memiliki cita-cita dengan reka bentuk mereka sendiri.
"Dan ini bagi saya adalah agak tidak relevan. Sama ada ia telah dibincangkan, sama ada ia telah diberikan kesahihan, jawapannya tidak," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bloomberg.

Anwar mengulas laporan bahawa Timbalan Presiden PKR Azmin Ali atau Mukhriz Mahathir sedang dipertimbangkan sebagai pengganti kepada Dr Mahathir Mohamad.
Azmin yang berselisih pendapat dengan Anwar terpalit dengan skandal video seks yang menunjukkan individu menyerupai dirinya dengan lelaki dalam aksi hubungan sejenis.
Spekulasi bertiup kencang bahawa klip video itu timbul berikutan perebutan jawatan jawatan perdana menteri apabila Mahathir dikatakan cenderung untuk memilih Azmin bagi menggantikan tempatnya.
Bagaimanapun, Mahathir sendiri ketika ditanya mengenai perkara itu pada Julai lalu menegaskan beliau akan berpegang kepada janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Sementara itu, pemimpin Umno telah lama menentang sekiranya Mahathir berhasrat melantik anaknya Mukhriz sebagai perdana menteri.
Anwar yakin peralihan kuasa akan berlaku pada tahun 2020, dua tahun selepas Pakatan Harapan menumbangkan BN pada pilihan raya umum 2018.
"Ada satu persefahaman bahawa ia harus berlaku pada masa itu," katanya.
mk

Picture

Selasa, September 10, 2019

'Boikot produk berdasarkan bangsa, agama perbuatan tidak sihat'


KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kempen anjuran pihak tertentu yang menyeru pemboikotan produk berdasarkan kaum dan agama, dengan menyifatkan perbuatan itu sebagai ‘tidak sihat’.

Beliau berkata, kempen untuk mempromosikan produk halal boleh diterima tetapi dengan menggunakan isu perbalahan kaum adalah tidak sihat dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

"Sebagai seorang Muslim, saya fikir penting bagi kita untuk mempromosikan produk yang sangat baik. Terdapat produk yang diperlukan oleh Muslim yang memang dibuat oleh orang Cina.

ARTIKEL BERKAITAN: Boikot produk tindakan cetek: Tun M

Penggunaan konotasi perkauman (dalam kempen boikot) tidak sihat dalam masyarakat berbilang kaum dan dunia pluralistik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Majlis Antarabangsa Kerjasama Sejarah dan Kebudayaan-Asia Tenggara (ICHCC-SEA) Persidangan Antarabangsa mengenai Sejarah dan Kebudayaan di sini hari ini.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini, bertujuan menyediakan platform untuk pertukaran budaya dan pendidikan.

Kini terdapat kempen yang berterusan di media sosial oleh pihak tertentu yang menghasut orang ramai supaya memboikot produk bukan Islam.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan memboikot produk bukan Islam adalah tindakan mereka yang cetek fikiran dan gerakan seperti itu tidak akan mendatangkan kesan yang besar, malahan ia akan mengundang api kemarahan sahaja. - Bernama

SH

Picture