Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Sabtu, Oktober 04, 2014

Berita Pagi : 'Salam 20 sen' untuk NGO pengkritik TG Hadi

Saya sempat membaca dan meneliti surat yang dihantar oleh Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) bertarikh 30 September kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tersebar di media massa.

LENSA menyatakan bahawa surat tersebut adalah sebagai teguran kepada PAS yang dianggap sebagai punca tercetusnya ketegangan dalam Pakatan Rakyat.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam amalan demokrasi, semak dan imbang sangat penting dalam memastikan sesebuah parti mampu melaksanakan dengan sebaiknya hak dan mandat yang telah diamanahkan oleh rakyat.

Namun begitu, saya tidak pasti sama ada LENSA telah meneliti secara adil segala hujahan yang mereka halakan secara mutlak kepada PAS atau tidak.

Sewajarnya LENSA perlu lebih adil dalam memberi teguran bukan hanya kepada PAS, akan tetapi secara bersama kepada PKR dan juga DAP yang juga turut berada dalam Pakatan.

Bukankah tujuan surat tersebut adalah untuk memastikan sistem politik dwiparti (Pakatan) di negara kita dikukuhkan bagi mewujudkan pentadbiran negara yang seimbang?

Namun sebaliknya, tindakan tersebut dilihat seperti 'kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak'.

Mengapa pula wujud double standard dalam isu ini yang seolah-olah PKR dan DAP langsung tidak terlibat dalam pergeseran yang sengaja diwujudkan ini?

Sepatutnya LENSA menegur pencetus utama (the cause of the problem) kepada kemelut yang berlaku sehingga menyebabkan Umno mampu untuk goyang kaki melihat wayang ini.

Titah sultan Selangor menegur tindakan PKR melalui 'Langkah Kajang' yang dilihat sebagai punca kepada krisis di Selangor wajar dijadikan muhasabah oleh PKR.

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli yang menggerakkan projek 'Langkah Kajang' tanpa berbincang terlebih dahulu dengan rakan Pakatan dilihat punca utama kepada kemelut ini.

Tanpa ada sebarang sebab yang munasabah, pada 27 Januari lalu, ADUN Kajang telah meletakkan jawatan sebagai ADUN sehingga memaksa rakyat terheret sama dalam pilihan raya kecil yang terpaksa diadakan.

Bukan lembu dicucuk hidung

Selain itu juga, saya melihat ada beberapa argumentasi ringkas yang didatangkan oleh LENSA dalam surat tersebut perlu diperbetulkan dan diberi penjelasan seadil-adilnya.

Sangat tidak wajar jika hanya memetik satu isu lantas mencipta 'bad premise' kepada PAS sehingga menghalalkan hujahan LENSA bahawa PAS adalah punca mutlak kepada berlakunya ketegangan dalam Pakatan.

Sebagai contoh, isu yang dibangkitkan oleh LENSA tentang tindakan PAS yang dilihat membelakangi setiakawan Pakatan apabila tidak menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Perlu diperjelaskan bahawa sebelum isu ini dibangkitkan oleh LENSA, sewajarnya persoalan mengapa Tan Sri Khalid Ibrahim perlu diturunkan daripada jawatan menteri besar Selangor (sehingga membawa kepada pemecatan beliau sebagai ahli PKR) perlu dijawab terlebih dahulu kerana ia adalah penyebab berangkai kepada persengketaan ini.

Begitu juga dengan persoalan mengapa Anwar, ketika awal ‘Langkah Kajang’ dilancarkan, mengeluarkan kenyataan bahawa projek ini tidak ada kaitan dengan pertukaran menteri besar sebagaimana dilaporkan media pada 27 Januari lalu, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya?

Apakah tindakan ini tidak membelakangi setiakawan Pakatan?

Atau apakah LENSA menganggap bahawa PAS sebenarnya hanya perlu menjadi ‘lembu yang dicucuk hidung’ menuruti segala apa yang dilakukan walaupun terpaksa menghakis kepercayaan rakyat kepada Pakatan?

Mesyuarat 17 Ogos

Isu lain yang dibangkitkan oleh LENSA adalah dengan mengatakan pendirian PAS tidak konsisten dalam isu itu.

Saya tidak pasti sama ada LENSA sudah ambil maklum atau tidak berkenaan keputusan rasmi PAS Pusat yang telah bermesyuarat pada 17 Ogos sebulat suara sepakat, yang antara lain:

“PAS tidak akan menuntut jawatan menteri besar Selangor, PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan dalam mencadangkan nama calon menteri besar Selangor.

“Sehubungan dengan itu, PAS sebulat suara pada hari ini bersetuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Nama yang dicadangkan oleh PAS ialah: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (presiden PKR), dan Mohammad Azmin Ali (timbalan presiden PKR).”

Hilangnya suara anti-GST

Maka sepatutnya rakan Pakatan lain menghormati keputusan PAS ini sebagaimana PAS menghormati keputusan PKR untuk menukar menteri besar setelah Khalid bukan lagi mewakili Pakatan.

Akan tetapi, mengapa PKR tetap berdegil memaksa PAS bersetuju dengan hanya nama tunggal iaitu Wan Azizah sehingga menafikan hak bersuara PAS sebagai rakan dalam satu pakatan.

Keputusan mesyuarat pada 25 Ogos pula sebagai mengukuhkan keputusan sebelumnya dan menyerahkan kepada kebijaksanaan sultan dalam memilih menteri besar Selangor.

Manakala tindakan drastik yang diambil oleh PAS pada 4 September 2014 pula adalah sebagai menghormati arahan sultan agar setiap ketua parti mengemukakan lebih daripada dua nama.

PAS tetap akur dengan arahan sultan kerana berpegang kepada konsensus Pakatan walaupun PKR tetap bertegas untuk memilih ‘berlawan’ dengan institusi istana.

Rakyat juga sebenarnya sehingga kini tertanya-tanya apakah kesalahan ‘pecah amanah’ yang dilakukan oleh Khalid sehingga beliau dipecat daripada PKR dan juga jawatan menteri besar.

Tambahan pula, pertuduhan yang dilemparkan kepada Khalid berkenaan isu penyelesaian luar mahkamah antara beliau dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah dijawab dalam kenyataan rasmi yang disiarkan akhbar pada 17 September lalu.

Maka sewajarnya, ia perlu dijawab kembali oleh PKR jika sekiranya pertuduhan kepada Khalid tersebut adalah benar kerana ini antara sebab utama PKR mahu menggantikan jawatan menteri besar Selangor.

Jika tidak, mandat rakyat seolah-olah telah dipermainkan oleh sesetengah pihak tanpa rasa tanggungjawab.

Apa yang pasti, rakyat terutamanya anak muda sudah semakin muak dengan politik ‘main-main’ seperti ini. Rakyat memerlukan politik berwajah baru dan politik budiman yang menghormati rakan termasuk juga lawan.

Jika sebelum ini rakyat sedikit lega apabila tindakan zalim yang dilakukan oleh pihak kerajaan mendapat pembelaan daripada Pakatan seperti isu GST, harga getah yang meningkat, harga barang yang melambung tinggi dan sebagainya, tetapi pasca Langkah Kajang, kepercayaan tersebut sedikit meleset.

Ia dibimbangi rakyat sedang melakukan 'silent protest' yang akan diluahkan di atas kertas undi menjelang pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Kita semua bersetuju bahawa bermula terciptanya Langkah Kajang, isu-isu rakyat khususnya tentang cukai barang dan perkhidmatan (GST) kurang disebut dan mendapat perhatian.

Dalam tempoh lebih lima bulan Umno berjaya mengambil jalan selesa menghasut rakyat untuk menghalalkan cukai GST yang sebelum ini Pakatan bermati-matian membela rakyat daripada dizalimi. Dek kerana Langkah Kajang, isu ini diam seribu bahasa.

Kempen Tolak GST 1.0 juga sudah tidak kedengaran akibat tenggelam dengan pertelingkahan sesama sendiri bahana Langkah Kajang yang dicipta. Naifnya, rakyat yang menjadi mangsa.

Maka oleh itu, LENSA sebenarnya perlu lebih adil dalam menegur. Melihat kepada rentetan penjelasan di atas, sewajarnya kita sedia maklum pihak mana yang sepatutnya diutamakan untuk ditegur tanda kasih sayang anak muda kepada pakatan harapan rakyat ini.

Suara anak muda tidak sepatutnya dipengaruhi mahupun diracuni oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Jangan disebabkan terpengaruh dengan mana-mana pihak, anak muda yang sebelum ini sinonim dengan nilai keintelektualan diragut oleh politikus yang rakus.

Sehingga menyebabkan kita mengenepikan aspek adil, tepat, berfakta dan benar dalam mengkritik. Salam 20 sen.




AHMAD ULWAN HASSIM, 24, mahasiswa ijazah sarjana muda usuluddin Universiti Al-Azhar di Kaherah.

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...