Iklan Penaja 1

Picture

Jumaat, September 28, 2018

Saman fitnah Anwar selesai, Mazlan mohon maaf

Saman fitnah Anwar selesai, Mazlan mohon maaf
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Datuk Dr Mazlan Ismail, yang mengaitkan Anwar terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman, selesai selepas bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh itu memohon maaf kepada Ketua Umum PKR berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Mazlan, yang membacakan kenyataan maaf itu secara terbuka di kandang saksi berkata beliau memohon maaf kepada Anwar, selaku plaintif dalam kes saman itu dan memberi jaminan tidak akan menyiarkan laporan sama atau yang seumpamanya berkaitan plaintif.
Katanya, dalam sidang media itu, beliau telah merujuk kepada sekeping surat yang diterima bersama dengan beberapa salinan surat sama.Mazlan berkata beliau turut mengakui dan sedar bahawa kenyataannya yang ditayangkan oleh TV3 serta laporan diterbitkan Utusan Melayu, disebabkan sidang media yang diadakan di rumahnya pada 2 Ogos 2013.
“Surat berkenaan dikatakan mengandungi butiran yang mendakwa bahawa plaintif (Anwar) telah membuat pembayaran sebanyak RM50 juta kepada firma guaman Karpal Singh & Co dengan tujuan menyogok atau merasuah barisan hakim dan pihak pendakwaan sejak tahun 2008.
“Saya dengan ini mengesahkan bahawa saya telah menjalankan sidang akhbar berkenaan laporan itu tanpa menjalankan sebarang verifikasi atau usul periksa. Saya juga mengesahkan bahawa saya telah menyebarkan laporan itu kepada pihak media yang hadir pada sidang media itu tanpa sebarang asas yang kukuh,” katanya yang tenang ketika membacakan teks permohonan maaf itu.
Mazlan juga berkata beliau sedar bahawa laporan itu telah ditayangkan dalam Buletin Utama jam 8 malam, yang tidak disemak olehnya dan telah mendapat liputan yang amat luas kalangan penonton Malaysia.
“Saya juga sedar bahawa sebarang tohmahan kegiatan rasuah terhadap badan kehakiman dan mana-mana pihak lain, adalah perkara serius yang mana sepatutnya disahkan terlebih dahulu oleh saya.
“Saya rasa dukacita dan amat kesal atas tindakan saya yang melulu. Saya juga akui bahawa laporan itu telah mendatangkan kesan negatif serta menjejaskan reputasi plaintif serta pihak-pihak lain yang disebutkan dalam laporan berkenaan,” katanya yang turut memaklumkan bahawa beliau menarik balik kenyataan itu terhadap plaintif tanpa sebarang syarat.
Sebaik sahaja Mazlan selesai membacakan kenyataan maaf itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak terlibat.
Terdahulu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar memaklumkan kepada mahkamah bahawa defendan pertama iaitu Mazlan bersetuju untuk membacakan kenyataan maaf dan memohon supaya mahkamah merekodkan penyelesaian penghakiman persetujuan antara mereka.
Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mazlan berkata anak guamnya bersetuju untuk membacakan permohonan maaf itu dan meminta supaya kenyataan itu dibacakan di kandang saksi.
Sementara itu, penghakiman persetujuan membabitkan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan Utusan Melayu (M) Bhd (UMMB) dengan Anwar akan direkodkan oleh mahkamah pada 12 Oktober depan berikutan kedua-dua pihak masih mengemaskini terma-terma persetujuan bagi penyelesaian kes berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Utusan Melayu kepada pemberita yang hadir pada prosiding kes itu hari ini di dalam kamar pesuruhjaya kehakiman berkenaan. Turut hadir peguam Lim Qi Si, bertindak bagi pihak TV3.
Anwar memfailkan saman itu pada 15 Oktober 2015 selepas mendakwa ketiga-tiga defendan telah mengaitkan beliau dengan rasuah membabitkan hakim dan pendakwa raya.
Dalam pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Mazlan telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam satu sidang media dan menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah itu menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan menyebabkan perkataan fitnah tersebut diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.
Anwar mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.
Anwar, ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau berasa lega kerana hampir lima tahun akhirnya kes itu dapat diselesaikan.
“Kes ini akhirnya selesai dengan permohonan maaf oleh defendan (Mazlan) dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Terdahulu semasa di dalam mahkamah sebelum prosiding kes itu bermula, kelihatan Anwar menyapa Mazlan dan mereka bersalaman antara satu sama lain.- Bernama.

Picture

Khamis, September 27, 2018

Hentikan adu domba hubungan saya dengan perdana menteri, kata Anwar

Hentikan adu domba hubungan saya dengan perdana menteri, kata Anwar
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak sebarang andaian dan persepsi negatif berhubung hubungannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar berkata beliau tidak mampu menolak semua desas-desus seumpama itu, namun berharap kesungguhannya bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir terus mendapat sokongan terutama dalam kalangan anggota PKR.
“Tetapi ini tak menghalang orang cucuk dan mentafsir begitu begini untuk ajak saya bergaduh. Janganlah ajak saya bergaduh dengan Dr Mahathir…dah 20 tahun gaduh. Kami dah berbaik. Jangan ada adu domba politik,” katanya.“Saya ambil keputusan bersama dengan kepimpinan PKR dan PH, masalah (negara) yang dihadapi besar dan kita tak mampu hadapi jika ada masalah dalam pimpinan PH. Maka kita biar(lah) kerajaan ini kuat dan di bawah (teraju) perdana menteri yang tegas barulah boleh selesaikan masalah besar seperti 1MDB.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pemimpin dan anggota PKR Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) semalam, lapor Bernama.
Katanya walaupun PKR tidak berjaya menguasai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Terengganu, hubungan baik dengan kerajaan negeri pimpinan Pas harus dibina demi kepentingan rakyat.
Bercakap pada sidang media kemudian, beliau menyifatkan tindakan beberapa bekas tokoh Umno yang dilaporkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama sekali tidak menggugat hubungan PKR dengan sekutunya dalam PH.
Beliau berkata sebagai parti yang sama-sama bernaung di bawah payung PH, PKR akan meneruskan jalinan kerjasama dan mengekalkan sikap saling mempercayai terhadap Bersatu dan parti komponen lain dalam pakatan itu.
“Kita masih lagi parti yang kuat dalam Pakatan (Harapan)…selagi hubungan dijalin dengan baik saya tidak harus musykil,” katanya.
“…yang penting kita harus mengekalkan hubungan baik dengan Bersatu, saling bekerjasama dan saling mempercayai…hubungan peribadi saya dengan Tun (Dr Mahathir) juga sangat baik, jadi saya tidak gusar,” katanya.
Majlis hari ini turut dihadiri Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.
Dalam pada itu, Anwar, yang dinamakan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan, berkata beliau tidak terkejut apabila Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dan PH memaklumkan tidak akan turun berkempen membantu beliau pada PRK itu.
Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan sendiri Dr Mahathir atas faktor mempunyai kekangan kerja sebagai perdana menteri.
“Sebagai perdana menteri, beliau ada beritahu tidak pernah turun berkempen pada mana-mana PRK kerana saya faham beliau ada keutamaan (sebagai perdana menteri). Tapi saya tahu beliau akan beri kerjasama dan meminta semua parti di bawah PH turut sama berkempen…dan beliau juga menasihatkan saya agar terus bekerja kuat,” katanya.
mdl

Picture

Rabu, September 26, 2018

Saingan lima penjuru di Port Dickson

Saingan lima penjuru di Port Dickson
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Empat hari menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson, bayangan semakin jelas dilihat bahawa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menelusuri jalan mudah mencatat kemenangan tanpa bertanding.
Kemungkinan besar PRK ini, yang kali keempat diadakan selepas tiga PRK membabitkan Dewan Undangan Negeri di Selangor iaitu Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, akan menyaksikan pertandingan lima penjuru.
Parti Rakyat Malaysia (PRM), calon Bebas Stevie Chan Keng Leong dan bekas setiausaha agung MIC Datuk S. Kumar sudah menyatakan hasrat masing-masing sekali gus menyampaikan mesej akan wujud pertandingan bagi kerusi Parlimen itu yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Kemang, sebelum persempadanan semula dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).Setakat ini beberapa pihak lain iaitu dua parti dan dua individu perseorangan sebelum ini menyatakan hasrat dan minat untuk mengambil bahagian selain Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR.
Paspula, menerusi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 15 September lepas, dipetik sebagai berkata parti itu sedia bertanding pada PRK tersebut sekiranya tiada parti lain yang ingin bertanding dalam usaha memastikan Anwar tidak mendapat kemenangan percuma.
Alasan BN memboikot PRK berkenaan ialah cara pengosongan kerusi Port Dickson yang tidak demokratik selain selepas perbincangan dengan parti komponen iaitu MCA dan MIC.
Presiden PRM Mohd Hashim Saaludin pada Jumaat lepas pula dilapor sebagai berkata penyertaan parti itu adalah untuk membangkitkan isu rakyat dan mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menunaikan janji-janji manifesto.
Pada PRK Sungai Kandis lepas, PRM juga mengumumkan untuk bertanding namun menarik diri pada saat akhir walaupun calonnya Ahmad Kamaruddin sudah tiba di Dewan Besar Tanjung Seksyen 19 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk penamaan calon.
Kumar yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanah Rata, Pahang di bawah tiket Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun tewas, bertanding untuk memperjuangkan hak kaum India.
Sementara Chan, seorang personaliti media sosial pula bertanding disebabkan rasa kecewa dengan kelewatan perubahan yang dijanjikan PH sebelum ini selain mendakwa PRK itu diadakan untuk memenuhi cita-cita dan impian seseorang individu serta menyifatkan ‘Langkah PD’ adalah salah.
Menurutnya ini adalah kerana PRK ini adalah satu ‘paksaan’ tidak ada keperluan mendesak, masa yang tidak sesuai dan rakyat mahu melihat wakil dipilih mereka melaksanakan agenda perubahan serta kerusi yang patut dikosongkan ialah milik anak Anwar, Nurul Izzah di Permatang Pauh atau isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pandan.
Dr Wan Azizah ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober dan hari penamaan calon pada 29 Sept manakala hari pengundian awal pada 9 Oktober.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU14 Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.
Parlimen Port Dickson yang memiliki sejumlah 75,770 pengundi dengan 68,486 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara, merupakan kerusi tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen PH di Negeri Sembilan.
Parlimen Port Dickson yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 mempunyai lima kerusi Dun iaitu Chuah dan Lukut dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (dahulu Port Dickson) (PKR).
mdl

Picture

Selasa, September 25, 2018

Peluang besar buat Anwar di Port Dickson

Peluang besar buat Anwar di Port Dickson
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Pakatan Harapan (PH) sudah pun menamakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Barisan Nasional (BN) pula mengesahkan ia tidak akan bertanding merebut kerusi itu, yang nampaknya akan memberikan laluan mudah kepada Anwar.
Namun, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan sebuah badan bukan kerajaan menyatakan hasrat untuk turut bertanding pada PRK itu, yang akan diadakan 13 Oktober ini.Sebenarnya, ramai yang mahu menyaksikan pertarungan tradisi satu lawan satu antara PKR dan BN bagi merebut kerusi Parlimen itu.
Dan, keputusan tentang siapa yang sebenarnya bertanding bakal diketahui pada penamaan calon PRK itu Sabtu ini.
PRK itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Peluang bertanding
Pada 5 Ogos lalu, Anwar, 71, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR pada hari penamaan calon sempena pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR 2018, bagi menggantikan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang telah memegang jawatan itu sejak parti tersebut diasaskan pada 1999.
Selepas kemenangan PH pada PRU14, Anwar menegaskan beliau tidak akan tergesa-gesa menjadi perdana menteri kelapan sebaliknya langkah bertanding di Port Dickson adalah bagi membolehkannya kembali bersuara di Parlimen.
Rakan-rakan sekutu PKR dalam PH – DAP, Bersatu dan Amanah – turut memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk bertanding kerusi Parlimen itu bagi memastikan kemenangan PH serta merealisasikan peralihan jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar nanti.
Penganalisis politik berpendapat kerusi Parlimen Port Dickson perlu menyaksikan pertandingan berbanding menang tanpa bertanding, walaupun ramai yang berpendapat Anwar mempunyai peluang besar untuk memenangi kerusi itu.
Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata dalam sistem demokrasi, pertandingan perlu diadakan bagi membolehkan rakyat memberi sokongan dan memilih calon pilihan mereka.
“Walaupun peluang untuk pembangkang menang nampaknya tipis berikutan ada yang mencadangkan supaya pembangkang tidak bertanding pada PRK itu tetapi mengikut sistem demokrasi, pertandingan perlu diadakan,” katanya.
Berdasarkan komposisi kaum di Parlimen Port Dickson, beliau berkata ia sememanya memberi banyak kelebihan kepada Anwar.
Daripada 75,000 pengundi di kawasan itu, katanya, tidak ada satu kaum pun yang peratusannya melebihi 50 peratus.
“Pengundi Melayu adalah 43 peratus , 33 peratus (Cina) , 22 peratus (India) dan lain-lain pula hanya dua peratus.
“Komposisi ini akan memberi kelebihan kepada Anwar dan menjadikan Port Dickson kerusi yang ‘selamat’ buat beliau,” katanya yang yakin bahawa perkara itu pasti diambil kira pembangkang khususnya BN sebelum membuat keputusan tentang meletakkan calonnya.
Raih sokongan rakyat
Anuar Shah berkata PRK itu juga bakal menjadi petunjuk sama ada sokongan rakyat masih utuh kepada PH walaupun kerajaan masih belum menyelesaikan banyak janji dan isu berbangkit selepas memenangi PRU14.
Menurutnya Anwar mahu pun PH tidak boleh memandang mudah pertarungan dalam PRK Port Dickson kerana berdasarkan keputusan PRK Seri Setia baru- baru ini, terdapat penurunan dari segi sokongan orang Melayu terhadap PH.
Dalam PRK itu, undi yang diperoleh PH menurun sebanyak 8 peratus iaitu 58.6 peratus berbanding 66.6 peratus semasa PRU14.
“Kalau kita lihat keputusan PRU14, PAS tidak menang satu pun Pusat Daerah Mengundi (PDM) tetapi pada PRK Seri Setia baru-baru ini, PAS menang di 3 PDM… ini menunjukkan undi Melayu meningkat kepada PAS dan UMNO sebanyak 8.5 peratus,” jelasnya.
Pada masa sama, katanya, Anwar boleh mengunakan PRK Port Dickson itu sebagai medan untuk kembali mendekati dan menyentuh sanubari rakyat.
Isu-isu tempatan yang sebelum ini mendominasi topik perbualan dan ceramah pada mana-mana PRK mungkin kurang diperkatakan pada PRK Port Dickson, sebaliknya isu nasional terutamanya mengenai Anwar sebagai bakal perdana menteri dijangka mendapat perhatian ramai.
“Itulah kempen yang akan berkisar dalam PRU Port Dickson nanti dengan tujuan Anwar bertanding dalam PRK itu bukanlah kerana mahu berada di Parlimen sahaja sebaliknya ia menjadi persiapan baginya untuk menjadi perdana menteri kelapan negara,” kata Anuar Shah.
Lancarkan peralihan kuasa
Sekiranya Anwar memenangi kerusi Parlimen itu, beliau berkata Negeri Sembilan dan Port Dickson khususnya bakal mencipta sejarah kerana kelak akan mempunyai perdana menteri yang mewakili negeri dan kawasan itu.
Dan, kemenangan itu boleh memastikan kestabilan pemerintahan kerajaan PH selain menjamin kelancaran pelaksanaan peralihan kuasa.
“Jika tiada krisis kepimpinan, peralihan kuasa boleh dilakukan dengan lancar,” kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Beliau berkata Anwar perlu melalui beberapa proses yang dapat menjaminnya untuk mengisi jawatan tertinggi kerajaan itu.
“Anwar sudahpun dipilih menjadi Presiden PKR, proses seterusnya ialah menjadi Ahli Parlimen. Oleh itu, beliau harus berjaya pada PRK Port Dickson.
“Dan, Anwar juga perlulah menjadi backbencher terlebih dahulu dalam proses menjiwai perjalanan kerajaan semasa dan inspirasi rakyat bagi membolehkannya mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan nanti,” katanya.
Mohd Azizuddin turut melihat PRK Port Dickson sebagai medan bagi Anwar untuk menguji sama ada beliau mampu meraih majoriti besar undi pelbagai kaum terutamanya Melayu di kawasan itu.
“Ini juga akan menjadi petunjuk kepada kredibiliti Anwar sebagai bakal perdana menteri kelapan untuk memimpin Malaysia.
”Walaupun yang keluar mengundi dijangka berkurangan pada PRK itu, Anwar perlu memastikan margin majoriti undi yang besar bagi PH,” katanya.
mdl

Picture

Isnin, September 24, 2018

PKR bincang isu kekecohan pemilihan

PKR bincang isu kekecohan pemilihan esok
Semua masalah dan kekecohan yang timbul semasa pemilihan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah dan Pulau Pinang semalam akan dibincangkan dengan teliti dalam Mesyuarat Biro Politik parti itu pada Selasa.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Sebaiknya kita ambil secara ‘bona fide’ iaitu dengan niat dan pandangan baik,” katanya ketika kepada media selepas merasmikan Pesta Tanglung dan Jualan Amal anjuran Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (Dun) Semambu dan PKR Ranting Setali malam tadi, lapor Bernama.“Kita akan bincangkan secara serius maklumat balas yang diterima daripada anggota kita… sekarang jangan buat sebarang spekulasi.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi Pakatan Harapan Indera Mahkota yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung.
Nurul Izzah mengulas kekecohan yang berlaku semasa pemilihan di beberapa cabang PKR Kedah dan Pulau Pinang semalam.
Kekecohan yang berpunca dari masalah sistem e-undi menyebabkan pemilihan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguh ke tarikh lain.
Pada masa yang sama keputusan pemilihan di Kedah juga dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh baharu.
Rentetan kekecohan itu polis turut menahan reman 13 lelaki selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika pemilihan PKR Cabang Merbok.
mdl

Picture

Khamis, September 20, 2018

PRK Port Dickson: Penamaan calon 29 September, 13 Oktober buang undi

PRK Port Dickson: Penamaan calon 29 September, 13 Oktober buang undi, tempoh kempen 14 hari
Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson akan diadakan pada 29 September dan hari pembuangan undi pada 13 Oktober depan dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Bagi pengundian awal akan diadakan pada 9 Oktober depan .
PRK Port Dickson akan menyaksikan sejumlah 75,770 pemilih berdaftar bagi Suku Kedua Tahun 2018 akan menjalankan tangungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat baharu berikutan kekosongan kerusi oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali dalam dewan rakyat.Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara akan dibuka pada 20 September dan ditutup pada 29 September 2018.
Daripada jumlah itu terdapat 68,486 orang pemilih biasa; sebanyak 7,268 pemilih awal dan 16 orang Pemilih Tidak Hadir Luar Negara.
Bagi menjalankan proses pilihan raya kecil SPR telah melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus PRK P132 Port Dickson dengan dibantu 9 Penolong Pegawai Pengurus dan 5 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-PKR) untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen kelak.
Tan Sri Othman Mahmood (kiri) menyerahkan watikah pelantikan Pegawai Pengurus PRK Port Dickson kepada Khairy Maamor (tengah) dan diperhatikan Setiausaha SPR Datuk Mohamad Elias Abu Bakar.
Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi Speaker Dun Datuk Mohamad Arif Yusof pada 12 september lalu berhubung kekosongan luar jangka kerusi P132 Port Dickson.
Sehubungan itu SPR telah adakan mesyuarat khas hari ini untuk menetapkan tarikh PRK diadakan dalam tempoh 60 hari pada tarikh kekosongan  kerusi pada 12 September bagi  mengisi kekosongan di kerusi berkenaan.
SPR turut menyasarkan  peratusan keluar bagi PRK Port Dickson sebanyak 70 peratus akan menjalankan tanggungjawab mereka pada PRK kali ini.
Bagi  lakasi  Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, SPR telah memilih Dewan MajlisPerbandaran Port Dickson.
Pada PRK Port Dickson ini SPR telah memperuntukan sebanyak RM3.6 juta  untuk mengendalikan proses pilihan raya kecil kali ini.
“Ia merangkumi 1,403 orang petugas dilantik untuk mengendalikan posesn PRK. Manakala sebanyak 39 buah Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya 171 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Ibupejabat SPR di Putrajaya hari ini.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.
mdl

Picture

Rabu, September 19, 2018

Langkah Tok Pa tepat bagi pemimpin waras, kata Husam

Langkah Tok Pa tepat bagi pemimpin waras, kata Husam
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Tindakan bekas Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti tepat dan dilakukan bagi mana-mana pemimpin yang waras.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Husam Musa berkata,  PH perlu membuka laluan kepada ahli parlimen bukan PH yang boleh dikategorikan positif serentak dengan langkah membanteras wakil rakyat terbukti merosakkan negara.
Husam berkata, serentak dengan itu, pembersihan ke atas salah laku pentadbiran yang lalu juga perlu digiatkan untuk meyakinkan rakyat bahawa PH menuju laluan yang betul dalam memenuhi aspirasi rakyat.“Jika PH dapat menggerakkan konsolidasi nasional berpaksikan sokongan kepada usaha reform dan membangunkan semula negara dibawa kepimpinan Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepimpinan PH sekarang, ia boleh mengukuhkan lagi negara dan mempercepat pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan di facebooknya.
Husam berharap lebih ramai ahli parlimen Umno lain mengikuti jejak Mustapa.
“Saya melihat langkah Dato Mustapa perlu disambut positif. Saya juga berharap lebih ramai ahli parlimen Umno lain mengikuti jejak beliau.
“Selaku Pengerusi PH Kelantan, saya bersikap terbuka untuk Dato Mustapa dapat bersama selepas ‘cuti iddah’ beliau, ” katanya.
mdl

Picture

Selasa, September 18, 2018

Karisma, kredibiliti Anwar mampu kekalkan kemenangan PKR di Port Dickson


Dr Muhammad Nur Manuty
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
PKR Perak optimis Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengekalkan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berdasarkan karisma dan kredibiliti yang dimiliki.
Pengerusi PKR negeri, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, Anwar bukan sahaja ikon dalam arena politik, malah pengalamannya diperlukan bagi membantu memulihkan negara selepas Pakatan Harapan (PH) diberikan mandat mentadbir kerajaan.
“Kalau boleh kita berdoa untuk beliau menang tanpa bertanding. Kalau itu memudahkan beliau, kerana banyak sahaja kerja dan isu negara yang beliau perlu bantu,” katanya Bernama semalam.“Kita yakin menang walaupun kemungkinan rakyat pada ketika ini ada sedikit sindrom untuk tidak ghairah turun mengundi. Namun, kita tidak gusar kerana Anwar ada karismanya yang tersendiri.
Pada 12 September lalu, kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, yang meletak jawatan selaku wakil rakyat Parlimen terbabit untuk membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk V. S. Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.
Selain itu, Muhammad berkata kritikan segelintir pemimpin PKR terhadap proses pemilihan Anwar selaku calon di Parlimen tersebut merupakan perkara biasa dan tidak mewakili kenyataan rasmi parti.
“Biasalah manusia ini tidak boleh satu pendapat, dia mesti banyak pendapat. Itu fitrah tetapi apabila akhirnya keputusan telah dibuat, setiap daripada mereka akur atas nama muafakat dan saya yakin mereka akan membantu Anwar di Port Dickson,” katanya.
mdl

Picture

Isnin, September 17, 2018

Anwar Ibrahim saran singkirkan pemimpin khianat

Anwar saran singkir pemimpin khianat

iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com

KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti agar memilih pemimpin yang setia meneruskan perjuangan parti dalam pemilihan PKR kali ini bukan pemimpin yang mempunyai agenda untuk kepentingan sendiri.
Anwar berkata ahli PKR perlu menyedari parti itu dibentuk kerana agenda reformasi dan membela rakyat.

Anwar seterusnya mempersoalkan tindakan pihak-pihak tertentu dalam PKR yang mempertikaikan keputusannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson."Jika ada pemimpin yang berubah dan tidak lagi meneruskan perjuangan, dia telah mengkhianati parti, jangan pilih pemimpin begini," katanya dalam ucapan di hadapan lebih 1,000 penyokongnya pada program ‘Jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Wilayah Persekutuan’ di sini, hari ini.

Sedangkan, katanya pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain menyokong penuh keputusan berkenaan.
"Bila saya buat keputusan nak bertanding di PD (Port Dickson), (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng sokong saya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun sokong, (Presiden Amanah) Mohamad Sabu juga sokong, tapi dalam parti (PKR), ngok ngek ngok ngek… kenapa?
“Saya nak katakan, kita dah bincang dengan semua orang yang boleh bagi pandangan, jadi keputusan ini telah dibincang," katanya.

Anwar juga menyelar pihak tertentu dalam parti itu yang mahu beliau menyingkir orang-orang tertentu dalam parti sebagai syarat sokongan pada PRK Parlimen Port Dickson.
"Ada orang beritahu saya, parti ini aman kalau saya pecat orang ini, orang itu. Kalau nak sokongan di PD, buang orang ini. Saya kata, kalau kau tak tidak mau sokong saya di PD, saya tidak peduli," katanya disambut sorakan penyokongnya.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita selepas program ‘Meet Anwar’ anjuran  Anwar Ibrahim Club, Anwar berkata beliau tidak akan mengambil mudah PRK itu, walaupun pada hakikatnya beliau seorang pemimpin yang dikenali dan menjadi lumrah bagi mana-mana calon tidak mendapat sokongan 100 peratus daripada pengundi di mana-mana kawasan dan itu turut terpakai di Port Dickson.

“Saya tidak pernah bersikap begitu, (sama ada) dalam politik, kehidupan dan kerjaya, saya tidak memandang mudah mana-mana perkara, anda perlu kerja keras, anda perlu bertemu rakyat dan berikan penjelasan, lumrahnya anda tidak mendapat sokongan 100 peratus pengundi , tetapi adalah penting untuk anda sedari bahawa kami hanya menawarkan diri kami sebagai calon.

“Oleh itu bagi mereka anda mungkin dikenali dan diterima di tempat lain, tetapi apa yang penting adalah sokongan daripada Port Dickson. Tiada yang pasti. Saya perlu bekerja keras,” katanya.
Anwar berkata beliau akan melawat kawasan itu secepat mungkin untuk bertemu pengundi, malah sebelum hari penamaan calon.
Berhubung kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas daripada Umno Datuk Seri Nazri Aziz yang secara terbuka menyatakan akan menyokong  termasuk berkempen untuk beliau pada pilihan raya kecil itu,  Anwar berkata beliau secara peribadi mengalu-alukan sokongan daripada mana-mana pihak.

“Tetapi apabila melibatkan platform parti ia akan diputuskan oleh parti. Saya bukanlah sombong untuk menolak mana-mana tawaran untuk membantu, saya hanyalah seorang calon,” katanya.
Nazri yang dipetik berkata demikian oleh sebuah portal berita berkata, beliau percaya ini adalah yang terbaik untuk Umno bagi memastikan parti itu kembali ke dalam kerajaan. - Bernama

Picture

Sabtu, September 15, 2018

AMANAH sokong Anwar bertanding

AMANAH sokong Anwar bertanding
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Parti Amanah Negara (AMANAH) menyokong pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dalam masa terdekat.
Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, sokongan itu atas konsensus bersama pimpinan parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan.
Katanya, pengumuman Anwar untuk bertanding dalam PRK bagi membolehkan beliau menjadi ahli parlimen adalah satu langkah ke arah mencapai hasrat yang dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Harapan
“Dalam sebuah negara demokrasi, mana-mana individu berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru katanya, pentingnya pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan untuk berada bersama dalam kerajaan agar reformasi sistem seperti yang ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, dapat dilaksana dengan lebih berkesan.
mdl

Picture

Jumaat, September 14, 2018

Pemuda AMANAH sokong Anwar, sedia gempur PRK Port Dickson

Pemuda AMANAH sokong Anwar, sedia gempur PRK Port Dickson
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Kepimpinan Pemuda bagi Parti Amanah Negara (AMANAH)  menyokong Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ketua Pemuda Mohd Sany Hamzan berkata, Pemuda AMANAH menyambut baik pengisytiharan pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding sekaligus kembali ke Parlimen.
“Kembalinya Datuk Seri Anwar sebagai ahli Parlimen akan membantu ke arah melengkapkan pelan peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui secara bersama oleh rakan-rakan komponen Pakatan Harapan melalui Muafakat Pakatan Harapan bertarikh 6 Januari 2018.
“Pemuda AMANAH Nasional melihat laluan kepada Datuk Seri Anwar untuk kembali ke Parlimen adalah sangat penting dan akan memberi impak yang besar kepada Parlimen khususnya dengan melihat kepada peranan beliau sebagai ketua pembangkang di sesi lalu sebelum dikenakan pertuduhan politik yang menghalang karier beliau.
“Menyedari keluhan sesetengah anggota masyarakat mengenai satu lagi pilihanraya kecil, Pemuda AMANAH Nasional ingin menegaskan bahawa ketokohan Dato Seri Anwar Ibrahim adalah sangat diperlukan ketika ini khususnya bagi membantu memulihkan negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sany yang juga Adun Taman Templer berkata,dengan semangat muafakat Pakatan Harapan, Pemuda AMANAH Nasional sebagai rakan komponen akan teguh bersama dengan muafakat tersebut dan bersedia menggempur Parlimen Port Dickson bagi membantu memenangkan Anwar.
“Sesungguhnya kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sekaligus melengkapkan Muafakat Pakatan Harapan yang telah mempersetujui Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8,” ujarnya.
mdl

Picture

Khamis, September 13, 2018

Keputusan Anwar tanding di Port Dickson diurus Biro Politik, kata Saifuddin Nasution

Keputusan Anwar tanding di Port Dickson diurus Biro Politik, kata Saifuddin Nasution
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Keputusan untuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat biro politik parti, dan bukannya dibuat tanpa mesyuarat seperti mana didakwa.
Mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang mempersoal ketelusan proses membuat keputusan parti itu seperti dilapor media, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata kritikan itu tidak harus timbul kerana Zuraida sendiri merupakan anggota biro politik berkenaan.
“Berapa kerap biro politik bermesyuarat Setiap minggu setiap hari Selasa 8.30 malam. Apakah tajuk tentang memilih kawasan yang akan ditandingi Anwar dibincangkan Ya. Diputuskan dalam biro politik Ya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penyampaian Anugerah Harta Intelek Negara 2018, di Kuala Lumpur,hari ini lapor Bernama.
Semalam, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan bahawa beliau mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kawasan Parlimen itu.
Zuraida dalam reaksi kepada pengumuman berkenaan melahirkan rasa khuatirnya dan dilapor sebagai berkata bahawa sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR telah dimanipulasi oleh kelompok tertentu.
Mengenai desas-desus akan berlaku boikot dalam kalangan komponen parti, Saifuddin Nasution berkata ia tidak timbul kerana keputusan ini telah dibuat sejak konvensyen Pakatan Harapan pada Januari lepas.
“Ketetapan itu sekiranya PH menang, kita menawarkan kepada rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dijadikan sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Anwar bakal Perdana Menteri ke-8.
“Jadi kesemua kepimpinan utama PH faham ketetapan itu, jadi sekarang masa untuk kami laksanakan konsensus itu. Dua yang pertama dah berjalan, jadi sekarang langkah seterusnya untuk memposisikan Anwar sebagai perdana menteri. Saya yakin pimpinan faham sebab mereka sebahagian dari proses buat konsensus,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata beliau telah bertemu kesemua pimpinan utama parti komponen PH, dan kesemua mereka bersetuju untuk memberi sokongan kepada Anwar yang akan bertanding menggunakan lambang PH.
“Mereka memahami dan menyatakan sokongan… jadi soalan boikot tak timbul. Mereka juga faham sebab kemasukan Anwar menerusi kaedah legitimate iaitu melalui pilihan raya,” katanya.
mdl

Picture

Rabu, September 12, 2018

Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Port Dickson

Anwar akan bertanding di Parlimen Port Dickson
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Akhirnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.
Dalam satu sidang media di ibupejabat PKR di Petaling Jaaya hari ini penyandang kerusi tersebut Datuk Danyal Balagopal Abdullah membuat pengumuman mengenai kekosongan kerusi tersebut untuk diberikan laluan kepada Anwar.
“Saya sedia mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.
“Anwar bersetuju menerima tawaran saya dan bersedia bertanding di Parlimen Port Dickson. Saya yakin Anwar akan menang dan menjadi Ahli Parlimen dan akan menjadi Perdana Menteri kelapan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan sudah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuatkuasa serta merta kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Dr A Xavier Jayakumar.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan meletakkan Anwar di Port Dickson tiada kaitan dengan keputusan 3 pilihan raya kecil di Selangor, baru-baru ini.
Katanya, keputusan Anwar bertanding di Port Dickson sudah dimaklumkan kepada pemimpin tertinggi parti komponen Pakatan Harapan.
“Mereka memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh untuk memastikan kemenangan anwar.
“Kami percaya kemenangan Anwar akan menambah nilai kepada PH. Sebagai ahli Parlimen, Anwar yang juga sebahagian daripada Majlis Presiden PH akan memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu kerajaan.”
Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.
Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Pematang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.
Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.
Pada PRU14 lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi Parlimen Port Dickson degan majoriti besar 17,710 mengalahkan calon BN V Mogan (18,515) dan calon Pas Mahfuz Roslan (6,594).

mdl

Picture

Ahad, September 09, 2018

Wong Siew Ki-Halimey menang di PRK Dun Balakong, Seri Setia

Wong Siew Ki-Halimey menang di PRK Dun Balakong, Seri Setia
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Pilihan Raya Kecil (PRK) N27 Balakong dan N32 Seri Setia hari ini menyaksikan kemenangan memihak kepada calon PH Wong Siew Ki dan Halimey Abu Bakar.
.Di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Aziz Mohd Zain mengumumkan keputusan Dun Seri Setia dimenangi calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar pada jam 9.00 malam tadi.
Halimey memperoleh 13,725 undi mengalahkan calon Pas Dr Halimah Ali yang  memperoleh 9,698 undi. Majoriti dimenangani Halimey 427 undi.
Undi ditolak 164 dan peratusan pengundian 44.1 peratus.
Halimey hadir ditemani ahli keluarganya manakala Wong Siew Ki hadir ditemani Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang dan kepimpinan kanan DAP.
Manakala di Dewan Utama Demesne Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi, Calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki memenangi kerusi dengan majoriti undi sebanyak 18,533.
Beliau memperoleh sebanyak 22,508 undi sekali gus menewaskan calon MCA, Tan Chee Teong dengan jumlah 3,975 undi.
Pengumuman keputusan rasmi itu dilakukan oleh Pegawai Pengurus PRK DUN Balakong, Datuk Rosli Othman kira-kira pada pukul 8.50 malam tadi.
PRK N27 Balakong dan PRK N32 Seri Setia diadakan serentak susulan kematian penyandangnya mendiang Ng Tien Chee pada 20 Julai kerana kemalangan jalan raya dan Allahyarham Dr Shaharuddin Baharuddin kerana menghidap kanser limfoma pada 2 Ogos lalu.
mdl

Picture

Sabtu, September 08, 2018

Panas!! Kerusi parlimen dikosongkan untuk Anwar minggu depan

Kerusi parlimen dikosongkan untuk Anwar minggu depan
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Satu kerusi parlimen bakal dikosongkan minggu depan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi merealisasikan matlamat Penasihat PKR itu diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan.
Perkara tersebut dinyatakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam Ceramah Reformasi 2.0 yang diadakan di Tunjong, malam tadi.
Rafizi bagaimanapun tidak menjelaskan selanjutnya berhubung usaha itu sebaliknya meminta semua pihak bersabar untuk mengetahui kerusi mana yang dimaksudkan itu.
“Langkah pertama untuk menjadikan Anwar sebagai Presiden parti sudah selesai dan langkah kedua pula adalah untuk menjadikan Anwar sebagai ahli Parlimen.
“Saya nak beritahu, minggu depan akan ada satu kerusi parlimen dikosongkan untuk Anwar bertanding.
“Minggu depan Insya-ALLAH satu kerusi dikosongkan dan insya-ALLAH Anwar Ibrahim akan kembali ke Parlimen,” katanya.
Sehingga kini, hanya tiga kerusi sahaja iaitu Sungai Petani, Selayang dan Sungai Siput yang bersedia menawarkan diri memberi laluan bagi pengosongan kerusi parlimen tersebut.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai dua kepentingan yang perlu diutamakan dalam agenda PKR iaitu menjadikan Anwar sebagai presiden parti dan ahli parlimen serta perdana menteri kelapan.
“Kami duduk berbincang dengan Anwar, datuk seri jangan ambil mudah. Ingat orang luar dan dalam akan bagi ruang. Tidak cukup jadi ketua umum,”katanya dipetik Sinar Harian.
mdl

Picture

Selasa, September 04, 2018

Elak perbalahan, perpecahan dalam gabungan PH, kata Mat Sabu

Elak perbalahan, perpecahan dalam gabungan PH, kata Mat Sabu
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Gabungan parti di bawah Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak berbalah sesama sendiri walaupun mempunyai pandangan berbeza sehingga menimbulkan pelbagai masalah  yang akan  membawa kepada perpecahan komponen parti, kata Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu.
Presiden AMANAH itu berkata, faktor utama kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei, menumbangkan Barisan Nasional (BN) disebabkan kekuatan gabungan antara PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Jika AMANAH, Bersatu, PKR, DAP sahaja yang bertanding memang tak menang jika nak ambil negeri dan negara kerana gabungan.
“Kita boleh berbeza pendapat dan pandangan tetapi jangan hingga hingga kita (gabungan parti) bercerai. Jika ada parti lain, tambah pun tidak mengapa, tetapi jangan bercerai.
“Perpaduan empat parti disamping NGO yang bersama dengan kita akan terus pupuk kekuatan yang kita mahukan adalah perubahan.
“Ini kerana kebangkitan rakyat yang menumbangkan BN,” ujarnya ketika berucap pada ceramah PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia di Shah Alam malam tadi.
Menteri Pertahanan ini juga berkata, kerana kekuatan gabungan parti, telah menyedarkan Pas untuk menjalinkan kerjasama dengan Umno dalam PRK diadakan di Sungai Kandis dan PRK Dun Seri Setia.
“Pas pun tahu gabungan ini penting sebab itu Pas tidak bersendirian, sekarang mereka bergabung dengan Umno,” katanya.
Beliau juga berkata, perpecahan yang berlaku dikalangan komponen BN selepas PRU-14 jelas dalam PRK di Dun Balakong apabila MCA mengunakan simbolnya.
“MCA bertanding guna simbol buah durian (logo MCA) di Balakong ertinya nampak mereka (MCA) nak keluar (BN).
“Kita (Pakatan Harapan) tidak boleh guna simbol sendiri dalam PRU14 dan PRK Sungai Kandis kerana RoS tidak luluskan simbol Pakatan Harapan,” ujarnya.
mdl

Picture

Iklan Penaja 2

Hasil carian imej untuk bisnes mudah

Catatan Popular Mingguan

Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Iklan C

Blog Archive