Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, November 11, 2015

RAKYAT PERCAYA DAKWAAN DATO HUSAM..PAS KIAN LEMAH...

Husam‎ Musa dan Hadi Awang

SHAH ALAM - Penganalisis politik melihat tindakan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mengkritik Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai satu tindakan berani dan dipercayai mempunyai asas demi mengelakkan pisang berbuah dua kali.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, kebenaran dakwaan Husam itu agak tinggi kerana Adun Salor itu tidak mungkin mengemukakan persoalan terhadap perkara yang tidak berlaku.

“Saya tidak fikir orang kemukakan soal itu jika kes tersebut benar-benar tidak terjadi. Jadi, saya yakin bahawa apa yang dibangkitkan Husam itu betul-betul terjadi.

“Jadi, apa yang dilakukan Husam itu, satu tindakan berani yang saya percaya bertujuan untuk memastikan bahawa kedudukan Pas itu terus mantap bukan untuk menghakiskannya ataupun cuba menjejaskan reputasi presiden parti seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Sebelum ini, Husam dilaporkan mendedahkan bahawa Abdul Hadi mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor dan menuntut presidennya itu menafikan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar.

Menurutnya, ‘teguran keras’ Husam itu bagi memberikan gambaran sebenar apa yang telah berlaku dan mengelakkan pemimpin tertinggi Pas mengambil tindakan sendiri tanpa merujuk peringkat bawahan.

“Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa perkara sama tidak berulang lain kali kerana jika berulang dan ia berlaku tanpa pengetahuan pihak lain di luar, seolah-olah mereka ini bersekongkol dengan musuh politik mereka.

“Mereka dilihat sebagai tidak setia kepada parti komponen lain. Ini boleh melemahkannya dan Husam di situ bagi memastikan pisang tidak berbuah dua kali dan kedudukan Pas itu dapat dimantapkan ketika berdepan dengan musuh-musuh parti yang lain,” katanya.

Sementara, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Husam bijak mencari masa yang paling sesuai untuk mengkritik dari dalam sekali gus menyukarkan lagi kepimpinan sekarang.

“Dakwaan-dakwaan yang dilemparkan Husam itu, hak dialah sebagai ahli politik untuk bercakap tapi Pas perlu ambil tindakan ke atasnya sekiranya mereka merasakan tindakan Husam itu sebagai satu ancaman dan boleh menjatuhkan parti.

“Keadaan ini jika berterusan memang tidak elok kepada Pas. Ia menunjukkan Pas itu lemah dan bukan sahaja sudah berpecah sebelum ini tapi semakin membarah,” katanya.

Azizuddin juga mengakui Husam sebagai ‘berbahaya’ kepada parti kerana dilihat sudah ‘tidak bersama’ namun masih kekal dalam Pas.

“Kita tahu berlaku perpecahan dalam Pas tapi perpecahan itu, ada pihak yang terus keluar parti dan sertai Amanah tapi ada juga golongan yang kalah dan menentang kepimpinan sekarang masih berada dalam Pas. Jadi, Husam antara golongan itu.

“Golongan seperti Husam memang bahaya...duri dalam daging kerana dia tidak keluar dan menyertai Amanah tapi masih di dalam.

“Jadi, dia akan beri kesan yang besar kepada sokongan akar umbi. Bagi saya, mungkin boleh ajak Husam berbincang bagi menyelesaikan permasalahan yang ada. Jika tidak mampu, barulah tindakan lebih drastik boleh diambil dan Pas perlu bijaksana dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamatpula berkata, beliau percaya rakyat di bawah akan percaya dakwaan Husam memandangkan Adun Salor itu pernah menjadi orang kuat Pas.

“Tindakan itu kurang wajar kerana ia tidak mencerminkan kesetiaan kepada parti dan juga tidak menjaga imej serta maruah parti. Beliau sepatutnya bawa perkara ini untuk dibincang dalam mesyuarat. Jadi, sebagai ahli parti, ini tindakan kurang bijak.

“Mungkin ia akan menjadi seperti membuka pekung di dada. Ini menyebabkan orang luar semua percaya sebab dia bekas naib presiden Pas. Jadi, apabila dia yang bercakap, rakyat di bawah akan percaya kerana dia dulunya orang kuat Pas,” katanya.

sh
 
 
http://iklanviral.blogspot.my/
      

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...