Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Sabtu, November 07, 2015

KENYATAAN PANAS!! YB KHALID SAMAD TERBARU....LAYAN..


My Photo

Persoalan Lapan Kerusi Selangor Yang Disebut DAP

Pada asalnya saya tidak berminat untuk mengeluarkan apa-apa reaksi kepada persoalan lapan kerusi DUN Selangor yang dimenangi PAS pada 2013 yang DAP sebut mereka ingin bertanding. Ini adalah kerana keputusan berhubung siapa akan bertanding dan sama ada Pakatan Harapan (PH) bertanding atau sebaliknya di mana-mana kerusi akan diputuskan bersama melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bila tiba masanya. Buat masa ini, mesyuarat Majlis Presiden berhubung isu kerusi belum lagi diadakan. Oleh itu saya melihat kenyataan YB Tony Pua hanya sekadar tindak balas terhadap kenyataan PAS sebelum ini berhubung keinginan PAS untuk bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi DAP. Oleh itu saya melihatnya sebagai isu yang tidak memerlukan respons.

Malangnya PAS kelihatan agak runsing terhadap kenyataan ini dan telah mengeluarkan pelbagai kenyataan balas terhadapnya. Sedangkan ianya sesuatu yang pramatang atau terlalu awal untuk dibicarakan.

DAP tidak yakin dengan AMANAH atau PAS?

Antara respons dari PAS adalah kenyataan Datuk Mustafa Ali di mana beliau menyebut ianya adalah bukti bahawa DAP tidak yakin dengan kemampuan Parti AMANAH. Oleh itu DAP akan bertanding di kerusi-kerusi itu dan bukan AMANAH.

Kalau ingin menilai kenyataan DAP secara serius, saya tidak akan mengatakan bahawa ianya menunjukkan kurangnya keyakinan DAP terhadap kemampuan AMANAH. Sebaliknya saya akan katakan bahawa DAP telah hilang keyakinan sama sekali terhadap kemampuan PAS!

Ini adalah kerana kesemua kerusi yang disebut adalah kerusi yang telah dimenangi PAS pada 2013. Tetapi DAP sekarang menganggap bahawa PAS tidak lagi mampu mempertahankan kerusi-kerusi berkenaan. Ini adalah kerana DAP melihat bahawa PAS, melalui kenyataan dan pendiriannya yang mutakhir, telah kehilangan undi dan sokongan bukan Melayu.

Ingatan umum kepada kedudukan PAS yang kalah semua kerusi DUN Selangor yang mereka tandingi pada PRU ke-11 (2004) sangat releven. Sikap bersendirian PAS hari ini, memungkinkan kembali senario 2004, di mana PAS dan DAP tidak ada persefahaman dalam pilihanraya. Oleh itu, sekiranya PAS yang bertanding pada PRU 14, DAP yakin bahawa kerusi-kerusi ini akan jatuh pada BN. Untuk elak ianya dari berlaku, maka DAP menawarkan dirinya sebagai parti yang akan bertanding di kerusi-kerusi tersebut. Itu pun disebut, sekiranya dipersetujui Pakatan Harapan.

Faktor Kemenangan PRU 2013

Bagi saya, kenyataan DAP sekadar tindak balas terhadap kenyataan PAS. Ianya bertujuan untuk mengingatkan PAS bahawa kemenangan mereka di kerusi-kerusi tersebut telah banyak dibantu pengundi bukan Melayu. Pengundi bukan Melayu pula telah mengundi PAS, antara lain adalah atas sebab keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR. Mungkin dilihat bahawa PAS seolah-olah telah lupa hakikat ini maka perlu diingatkan.

Dalam menghadapi PRU ke 14, sudah pasti PH akan berusaha untuk memenangi kembali semua kerusi-kerusi yang telah dahulunya dimenangi Pakatan Rakyat. Kerusi yang dimenangi PR merupakan tumpuan PH oleh kerana pengundi di kawasan tersebut telah menzahirkan keinginan mereka untuk diperintah oleh gabungan PKR, DAP dan dahulunya, PAS. Walaupun sekarang ini PR sudah terkubur, tetapi semangat dan wawasan yang sama dibawa oleh PH.

Dalam keadaan yang sedia ada, AMANAH berkeyakinan bahawa parti ini adalah yang paling berpotensi untuk mencapai kemenangan di kawasan-kawasan berkenaan apabila mewakili Pakatan Harapan. Ini adalah kerana AMANAH merupakan sebuah parti Islam sepertimana juga PAS tetapi bersikap lebih inklusif dan jujur terhadap konsep berpakat dan berkerjasama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan. Dengan itu sokongan Melayu dan bukan Melayu insyaAllah mampu diperolehi AMANAH demi menjamin kemenangan.

Respon lain

Ada juga antara penulis dan blogger pro-PAS yang memberi amaran bahawa DAP sudah ingin menguasai Selangor. Bahawa dengan 15 kerusi yang sediada dan 8 lagi yang diinginkan maka DAP akan mendapat 23 kerusi dan dengan itu mempunyai jumlah terbesar dalam Pakatan Harapan. Kebetulan pula Dr. Aziz Bari menyebut bahawa tidak salah di sudut undang-undang untuk bukan Melayu menjadi Menteri Besar Negeri Selangor. Maka dijaja teori mereka ini untuk menyeru pengundi Melayu untuk bersatu “menentang usaha DAP (Cina) menguasai Selangor”.

Saya hairan dengan sikap yakin terhadap kemampuan DAP untuk memenangi 8 kerusi yang disebutkan mereka. Tak sangka bahawa penulis-penulis pro-PAS tidak yakin dengan kemampuan PAS mempertahankan 8 kerusi tersebut dari “dirampas DAP”. Secara tidak sedar mereka memperakui kewajaran hilangnya keyakinan DAP terhadap kemampuan PAS menang kembali kerusi-kerusi berkenaan.

Saya syorkan supaya mereka tidak terlalu khuatir terhadap persoalan ini. Ianya hanya acahan DAP maka tidak perlu melatah atau melenting. Begitu juga saya syorkan supaya mereka hentikan diri mereka dari terus menjadi agen UMNO BN, mengibar panji-panji perkauman serta menyubur perasaan takut terhadap sesama rakyat. Cukuplah dengan UMNO BN sebagai agen provokator dalam persoalan perkauman dan penyubur perasaan takut masyarakat Melayu.

Saya ulangi bahawa persoalan kerusi belum lagi dibincang maka bertenanglah. Apabila ianya dibincang, sudah pasti AMANAH akan menuntut untuk bertanding di mana PAS telah bertanding sekiranya PAS tetap tidak bersama PH dan tiada persefahaman pilihan raya atau “electoral pact” antara PAS dan PH.

Kesimpulan

Persoalan kerusi akan dimuktamadkan melalui proses perbincangan dan musyawarah di antara parti-parti PH. Namun bagi kerusi-kerusi yang pernah ditandingi dan dimenangi PAS, AMANAH adalah dalam posisi yang terbaik untuk mewakili Pakatan Harapan kerana sokongan merentasi kaum masih dikecapi parti ini. Buat masa ini yang terpenting ialah membina kekuatan AMANAH dan Pakatan Harapan di seluruh Negara. Melalui ini BN akan dapat dikalahkan pada PRU ke-14.

Harapan kami adalah semoga kesemua parti pembangkang akan bersatu di bawah PH atau paling tidaknya bagi PAS dan parti pembangkang lain mewujudkan persefahaman pilhan raya atau ‘electoral understanding’ dengan PH. Ini akan memudahkan perlaksanaan kaedah ‘satu lawan satu’ di semua kerusi bagi menumbangkan kerajaan Umno-BN yang telah banyak melakukan kerosakan dan membebankan rakyat di negara ini. Usaha menjatuhkan BN harus dijadikan fokus utama kita.

WaLlahu 'Alam
Artikel ini telah diterbitkan di amanah.org.my pada 5 Nov 2015

KHALID SAMAD
http://iklanviral.blogspot.my

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...