Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, Oktober 09, 2015

PANAS!! : KERAJAAN PAS KELANTAN GOYANG??


Pas
KOTA BHARU - Suasana politik di Kelantan ketika ini sedikit 'panas' apabila tersebar khabar angin kononnya 10 wakil rakyat daripada Pas akan melompat parti dan menyertai Parti Amanah Rakyat (Amanah) awal tahun depan.

Isu berkenaan mula timbul selepas Pengerusi Harapan Baharu Mohamad Sabu melancarkan Amanah pada 31 Ogos lepas, dan isu itu terus dimainkan Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah semasa melancarkan parti berkenaan di Kota Baharu, pada 11 September.

Bagaimanapun, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV menafikan dakwaan berkenaan dan berkata ia hanya strategi perang saraf pihak lawan, semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.

Difahamkan, 10 wakil rakyat terbabit terdiri daripada tiga anggota Parlimen dan tujuh Adun dari negeri ini.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff menjangkakan 10 wakil rakyat Pas Kelantan akan menyertai Amanah selewat-lewatnya Januari depan tidak akan menjadi kenyataan kerana masih terikat dengan bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga yang dipersetujui mereka pada PRU13.

Ini kerana hampir semua alim ulama di Kelantan, termasuk Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohammad, sepakat bahawa bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga yang dikenakan ke atas wakil rakyat Pas adalah sah, kata Kamarul Zaman.

"Sebaliknya, wakil rakyat Pas Kelantan yang keluar daripada Pas inilah yang akan terancam kerana besar kemungkinan mereka tidak lagi akan diterima oleh rakyat Kelantan jika mereka bertanding di atas tiket parti lain dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jika wakil rakyat Pas Kelantan tetap keluar daripada Pas di sebalik bai'ah mereka ini, maka sudah tentu mereka akan menghadapi tekanan daripada masyarakat setempat," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai tindakan anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar yang menyertai Amanah dan PKR baru-baru ini, Kamarul Zaman berkata kedua-dua ahli Parlimen berkenaan tidak bimbang dipulaukan masyarakat setempat kerana mereka bukan berasal dari Kelantan.

"Saya melihat bahawa faktor penerimaan daripada masyarakat setempat menyebabkan sesuatu yang tidak begitu besar kebarangkaliannya untuk wakil rakyat Pas Kelantan yang menetap di Kelantan keluar daripada Pas.

"Selain itu, Kamarudin sendiri contohnya pernah beberapa kali bertanding di Tumpat di atas tiket BN tetapi tidak pernah menang sehinggalah beliau bertanding di atas tiket Pas, sekali gus menunjukkan kemenangan beliau bukanlah berpunca daripada populariti diri beliau tetapi oleh parti yang beliau wakili," katanya.

Pas menguasai majoriti 32 kerusi Dun di Kelantan, diikuti BN dengan 12 kerusi, manakala PKR hanya mempunyai satu kerusi.

Kamarul Zaman berkata jika benar tujuh Adun Pas melompat parti dan menyertai Amanah, Pas Kelantan masih mampu berdiri dengan utuh dan mempunyai majoriti selesa. 

"Jika pun 10 wakil rakyat Pas Kelantan, terutama tujuh Adunnya ini benar-benar keluar daripada Pas menjelang Januari ini ia tetap tidak akan mengganggu keutuhan Kerajaan Pas Kelantan kerana mereka masih tetap mempunyai majoriti yang selesa dalam Dun yang tidak memungkinkan ia akan tumbang.

"Pada masa yang sama, kemungkinan untuk tujuh Adun Pas Kelantan yang keluar daripada parti itu bergabung dengan wakil rakyat BN untuk cuba menumbangkan Kerajaan Pas Kelantan juga adalah terlalu kecil," katanya.

sh
      

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...