Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, Jun 12, 2015

KAJIAN : 60 PERATUS PENYOKONG PR BERHARAP PR TERUS KEKAL..

Che Ibrahim Mohamed

KOTA BHARU - Tidak mustahil wujud pihak tertentu yang berusaha menubuhkan parti Islam baharu menggantikan Pas, seterusnya menjalinkan hubungan dengan rakan komponen PR.

Naib Presiden Pasma Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, ia dijangka berlaku jika Majlis Syura Ulama mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP.

“Bila putus hubungan, secara automatik Pakatan Rakyat (PR) dianggap bubar kerana PR dibentuk atas gabungan tiga parti.

“Saya yakin jika keadaan ini berlaku, sebahagian besar penyokong Pas tidak dapat menerima dan mereka sudah tentu akan berbuat sesuatu seperti keluar Pas atau sekurang-kurangnya menghentikan semua penglibatan dan hubungan mereka dengan Pas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang didakwa menyifatkan ahli Pas akan akur jika ditakdirkan Majlis Syura Ulama memutuskan untuk tidak mahu bersama DAP lagi.


Menurutnya, melalui kajian awal, lebih 60 peratus penyokong PR masih berharap PR terus kekal sebagai satu persefahaman politik terbaik untuk mencabar BN pada pilihan raya akan datang.

Katanya, jika benar ada pihak yang akan keluar Pas dan wujudkan parti lain, maka ketika itu Pas akan menjadi satu parti yang akan bergerak secara bersendirian, kecuali Pas memilih hala tuju baharu dalam politik dan bergabung dengan Umno dalam BN.

“Dalam hal ini, Pasma sesekali tidak bersetuju dan tidak menyokong keputusan itu, selari dengan tujuan asal Pasma ditubuhkan untuk membantu Pas memperkukuhkan kedudukannya dalam PR.

“Pas perlu sedar bahawa perjuangan mereka 'Pas For All' telah diterima baik masyarakat tanpa mengira batasan agama dan kaum," katanya.

Menurutnya, jika itu berlaku, Pas bukan sahaja akan ditendang rakan politik mereka di Pulau Pinang dan Selangor, malah akan hilang sokongan bukan Melayu yang selama ini telah mula menaruh keyakinan melalui pendekatan dibawa Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

sh

1 ulasan:

  1. Pakatan Rakyat cuma satu ikatan perjuangan untuk rakyat tanpa mengira bangsa. Jika mana-mana parti mengingkari, parti tersebut boleh keluar, dan jika ada parti lain yang berminat berjuang untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa itu adalah dialu-alukan... yang pasti kita boleh berbeza pendapat, berbeza perjuangan, namun matlamatnya adalah keadilan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia.

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...