Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Jumaat, Januari 09, 2015

Dakwah : Islam perlu difahami seadanya

 
ISLAM sebagai suatu agama perlu difahami seadanya. Ia terbina dengan suatu sistem kepercayaan dan mengaturkan suatu cara hidup. Sebagai suatu sistem kepercayaan ia tidak sempurna melainkan keindahan Islam itu terlihat dalam amal dan contoh.

Suatu sistem kepercayaan menghubungkan agama ini dengan Pencipta. Manusia dan alam ini tidak terjadi dengan sendiri melainkan ia dicipta. Pencipta yang disebut sebagai ALLAH menghasilkan rahmah dan nikmah yang banyak untuk keperluan kehidupan manusia.


Roh umpamanya bukan milik manusia dan manusia tidak mampu menciptakan roh. Roh dipinjamkan sementara kepada diri manusia untuk membolehkan manusia hidup. Kepentingan roh dalam diri manusia membolehkan akal berfikir, hati berasa dan daya bergerak. Tanpa roh manusia akan mati. Yang diketahui oleh manusia mengenainya amat sedikit sekali.

Roh adalah sesuatu yang ghaib. Ia ada walaupun manusia tidak dapat melihatnya. Tetapi manusia perlu mengukuhkan kekuatan rohaninya supaya kuat dalam dan luaran untuk melakukan amal soleh.

Binaan kekuatan rohaniah di pedoman oleh al-Quran. Al-Quran datangnya daripada ALLAH tidak direka oleh Nabi Muhammad. Dalam al-Quran terkandung ilmu yang belum terfikir oleh manusia sebelumnya.

Ilmu mengenai kejaninan (embriologi) umpamanya dipedomankan oleh al-Quran. Surah al Alaq (Khalaqal insan na min alaq) mengenai alaqa (darah beku) dan Surah al Mukminuun (ayat 12-14) mengenai nutfah umpamanya memberi petunjuk kepada saintis mengenai teori kejadian manusia.

Al-Quran juga memberi asas kepada sistem kepercayaan yang dihubungkan dengan aqidah tauhid. Ketauhidan membawa maksud kesatuan di mana seluruh kejadian di alam ini datangnya daripada ALLAH dan kepada ALLAHlah segalanya bakal kembali.

Al-Quran terkandung prinsip tentang hukum dan tatacara kehidupan yang disebut sebagai fiqah dan syariah. Ia mempedomankan kehidupan yang fitrah. Al-Quran juga terkandung pedoman akhlak dan kisah-kisah perjuangan Nabi dan Rasul terdahulu mendepani kerenah manusia yang ingkar supaya manusia terkemudian memiliki ibrah atau teladan untuk dijadikan sumber ikutan atau sebaliknya.

Nabi Muhammad sebagai Nabi akhir zaman tidak saja diberikan akidah tauhid tetapi juga landasan ibadah dan syariah untuk membangunkan akhlak manusia. Ini diterjemahkan dalam sunnahnya dan menjadi sumber teladan dan ikutan manusia.

Dari tradisi sunnah lahir manusia yang berjiwa muttaqeen. Peribadi muttaqeen ini dalam bidang keilmuan dan kepimpinan, dakwah dan tarbiah dan akhirnya mampu membangunkan generasi.

Generasi berilmu dan beramal ini akhirnya membangunkan tamadun. Tamadun Islam yang dirintis oleh Rasulullah SAW, para sahabat, tabie-tabien, para ulama-umara membangun tamadun yang tidak saja hebat secara rohaniah tetapi hebat juga dalam amaliah hingga menghasilkan ilmu yang sepadu bagi keperluan umat manusia.

Tamadun itu diambil oleh Barat dan menyebabkan pencerahan terjadi. Takdir zaman tamadun Islam mengalami kemerosotan dan umat Islam menjadi umat pengguna kepada kekuatan Barat lebih 700 tahun. Umat Islam belum menjadi penyumbang kepada kebangunan umat manusia berlandaskan binaan watak mithali yang teguh akhlaknya dan canggih capaian sains dan teknologinya.

Umat Islam di mana-mana mengalami perpecahan yang sangat parah dan untuk bangun kembali memerlukan islah dan tajdid yang terarah. Kesedaran Islam di mana-mana sedang berlaku. Sayangnya ia lebih bersifat reaktif kepada isu dan fenomena.

Kebangkitan Islam harus ditandai dengan kebangkitan ilmu yang sepadu dan wahdah (kesatuan) umat yang mantap. Darinya bakal lahir Order Baru Dunia yang sifatnya maju tetapi berwatak mithali dan berakhlak mulia.

* Prof Dr Sidek Baba pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

sh

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...