Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Khamis, Disember 25, 2014

Berita Semasa : Polis percaya tentera yang maut simpan sejenis bom di rumah

Anggota Polis mengumpul serpihan mayat mangsa yang tercampak sejauh 17 meter dari lokasi kejadian letupan, iatu rumahnya di Taman Ria Mesra, Sungai Petani, Kedah pada petang Rabu. - Foto Bernama


Tiga maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kejadian letupan di sebuah rumah di Taman Ria Mesra, Gurun pada Rabu yang dipercayai akibat sejenis bom.

Letupan pada jam 4.30 petang semalam itu meragut nyawa seorang anggota tentera, Ayub Hashim, 37, anak perempuannya Nur Idayu Shahira, 8, dan anak kepada jiran mangsa yang berusia 5 tahun Mohd Akif Lokman Mohd Shahrizal.

Difahamkan, impak letupan yang kuat itu menyebabkan Ayub tercampak sejauh kira-kira 17 meter dari tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Nashir Ya ketika mengesahkan kejadian itu berkata anggota tentera berkenaan dipercayai menyimpan sejenis bom di rumahnya.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut,” kata Nashir.
Sementara itu, isteri Ayub yang dikenali sebagai Sharifah Haslinda, 37, dan seorang lagi anak lelaki mereka, Mohd Idham Shahmi, 5, cedera parah.

Turut cedera parah ialah isteri kepada jiran keluarga mangsa, iaitu ibu Akif Lokman, Zuraidah Mat Rotbi, 30 tahun.
Semua tiga mangsa yang cedera parah itu dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Mayat tiga mangsa yang terbunuh juga dibawa ke HSAH.

Letupan itu turut menyebabkan 10 buah rumah berdekatan rosak teruk manakala 34 lagi mengalami kerosakan kecil akibat gegaran selain memusnahkan dua buah kereta.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Ahmad Shahabuddin sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan itu berpunca daripada sejenis bahan letupan berdasarkan pengamatan impak letupan di lokasi kejadian terutama kesan-kesan lubang pada dinding rumah terbabit.

Ahmad berkata pihaknya turut meminta bantuan daripada Skuad Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memeriksa lokasi kejadian kerana khuatir masih terdapat bahan yang boleh meletup di dalam rumah terbabit.
Sementara itu di media sosial, terutama melalui mesej aplikasi Whatsapp sudah mula tersebar berita mendakwa letupan berkenaan adalah daripada beberapa butir bom mortar yang dibawa balik oleh mangsa ke rumah dari tempat kerjanya di Kem Hobart, Gurun.

Letupan dikatakan berlaku disebabkan percikan api yang terhasil ketika anggota tentera yang terbunuh itu menggergaji sebutir daripada bom mortar berkenaan menyambar belerang dalam bom itu mengakibatkan ia meletup serta turut meletupkan baki bom mortar yang lain.

Mangsa juga dikatakan membawa balik bom-bom mortar berkenaan dengan meletakkannya di dalam bonet kereta bagi mengambil kelongsong bom yang diperbuat daripada tembaga untuk dijual.

The Rakyat Post akan cuba mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan berkenaan dan polis Kedah juga dijangka akan mengadakan sidang media atau mengeluarkan kenyataan rasmi pada Khamis.


The Rakyat Post.

1 ulasan:

  1. JADI TENTERA TAK CUKUP MAKAN JUAL TEMBAGA LAH

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...