Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, Julai 23, 2014

Selesaikan isu MB secara tertib, elak keyakinan rakyat merudum [ Selangorkini ]

mb3728a543b477098a4848e499317bdbbd_XLSHAH ALAM, 22 JULAI: Pakatan Rakyat (PR) diingatkan menyelesaikan isu Menteri Besar Selangor dengan tertib serta penuh berhemah dengan persefahaman tiga parti berhadapan cabaran itu untuk mempertahankan kerajaan sedia ada.
Hal ini berikutan kepercayaan pengundi di Selangor boleh merudum apabila PR sendiri memberikan gambaran perjuangan lebih mementingkan agenda politik berbanding memelihara kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau berharap isu pertukaran Menteri Besar seperti yang dimahukan beberapa pihak PKR dapat diselesaikan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab sekaligus memulihkan keyakinan rakyat ekoran isu ini.


“Sudah tentu kalau perkara ini tak diselesaikan dengan penuh tertib dan penuh adab akan menjejaskan bukan sahaja PR di Selangor tetapi PR di PRU-14 akan datang.

“Jadi oleh sebab itu saya berdoa harap perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh tertib, bertanggungjawab dan mengikut lunas-lunas Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.

“Ini kerana Enakmen Kerajaan Negeri Selangor memperakui bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah penentu orang yang akan mengepalai pentadbiran Negeri Selangor iaitu yang menjadi Menteri Besar,” kata Abdul Khalid dalam wawancara ekslusif bersama Selangor Kini di Pejabat Menteri Besar pada Isnin lepas.

Abdul Khalid juga berkata kerajaan sebelum ini berjaya membuktikan peningkatan sokongan yang diterima dari rakyat Selangor apabila berjaya meningkatkan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 lalu.

Sementara itu ketika mengulas proses rundingan pengambilalihan syarikat konsesi pengurusan air, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang satu-satunya masih belum dimuktamadkan, Abdul Khalid menegaskan tindakan melobi bagi syarikat konsesi oleh mana-mana pihak merupakan langkah yang membelakangkan kepentingan rakyat Selangor.

“Jika itu berlaku bermakna mana-mana parti yang membenarkan seseorang boleh melobi ke atas keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri, ini bererti membelakangkan tujuan untuk memberikan kuasa rakyat dapat kebaikan dan pentadbiran yang tulus dan bertanggungjawab.

“Jadi oleh sebab itu saya rasa perkara ini perlu dihindarkan dan beri keupayaan kepada pentadbiran mencari jalan supaya dapat menentukan pembelian konsesi air dibuat dengan harga berpatutan, munasabah dan menguntungkan rakyat,” kata Abdul Khalid lagi.

Abdul Khalid turut menyarankan agar rakyat meneliti perkembangan terkini isu kerusi Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab dan tidak mengikuti berita fitnah dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab.
“Rakyat Selangor mesti menerima hakikat bahawa Selangor mempunyai tatacara perlantikan iaitu, tatacara yang penuh tertib dalam Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya percaya Kerajaan Negeri dan juga pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan mengikuti tatacara tersebut dengan penuh tertib dan penuh adab,” jelas beliau lagi.

sk

1 ulasan:

  1. moga PAS lebih berani.nuar n rafizi patut pencen politik. kekal TSKI.

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...