Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Selasa, Mei 20, 2014

[ BERITA PANAS!! ] LAGI DESAKAN SUPAYA NAJIB LETAK JAWATAN BERKAITAN ISU MH370..


 




















Isu kehilangan pesawat MH370 dan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan berhubung insiden itu, kontroversi Raja Bomoh dan dakwaan perkauman mencetuskan kekecohan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dari Seri Delima, RSN Rayer (gambar) mencetuskan kekecohan terhadap kelab penyokong Barisan Nasional (BN) apabila membangkitkan isu kehilangan pesawat dan menggesa Najib meletakkan jawatan ekoran kenyataan bercanggah yang dikeluarkannya.

"Terdapat kenyataan bercanggah dikeluarkan PM seperti beliau tidak berkata pesawat terhempas namun tamat di Lautan Hindi," kata Rayer, dan menambah meskipun dengan teknologi canggih, pesawat itu masih gagal dikesan.

Beliau berkata, pentadbiran Najib kini dipersoalkan dan beliau harus melepaskan jawatan. Rayer mengambil contoh perdana menteri Korea Selatan Chung Hong-won yang melepaskan jawatan selepas kritikan terhadap kerajaannya berhubung kemalangan feri yang meragut 300 nyawa.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang pada 8 Mac ketika berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Datuk Shah Headan Ayoob Shah (BN-Teluk Bahang) membalasnya, dengan berkata isu kehilangan pesawat merupakan masalah antarabangsa dan tiada negara terlibat dalam misi carian berupaya menemui apa-apa kesan pesawat.

"Adakah ini bermakna kesemua presiden dan perdana menteri negara itu juga perlu letak jawatan?" soalnya.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mendesak Rayer menggugurkan isu itu kerana ia masih menyakitkan buat keluarga dan kembali kepada topik perdebatan mereka berkenaan ucapan Yang di-Pertua negeri Tun Dr Abdul Rahman Abbas.

Gesaan Speaker Datuk Law Choo Kiang juga tidak diendahkan Rayer sebaliknya meneruskan ucapannya berkenaan MH370. Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) turut mendesak Rayer untuk tidak menimbulkan spekulasi berhubung isu itu.

"Saya tidak menyalahkan Najib tetapi mendesaknya meletakkan jawatan untuk menunjukkan rasa bertanggungjawab bagi meyakinkan rakyat," katanya, dan menambah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut berkata seseorang sedang menyembunyikan sesuatu.

Farid kemudiannya turut bertanya adakah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut meletakkan jawatan ekoran tragedi bot naga yang menyebabkan kematian lima pelajar dan guru pada 2010 dan Datuk Mahmud Zakaria (BN-Sungai Acheh) bertanya jika Lim perlu meletak jawatan kerana gagal menangani isu alam sekitar di Bukit Relau yang dibersihkan secara haram oleh pemilik tanah.

Sebelum itu, Rayer turut menimbulkan kemarahan BN apabila mendakwa Raja Bomoh Sedunia Ibrahim Mat Zin dijemput ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk mengadakan ritual mencari pesawat itu.

Menggelarkan bomoh itu sebagai "Bomoh Bujang Lapuk" sempena filem Tan Sri P. Ramlee, dan "Bomoh Sepak Buaya" sempena kenyataan Ibrahim "sepak macam buaya" kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, itu memalukan negara.

Jahara turut mengkritik Rayer, dan berkata beliau seharusnya bertindak seperti ketua kelab penyokong, bukan "ketua temberang."

Pihak berkuasa lapangan terbang dan Putrajaya menafikan mempunyai kaitan dengan Ibrahim.
Situasi itu menghangatkan Law dan kemudiannya mengarahkan Rayer supaya berhenti dengan berkata: "Isu MH370 tamat sekarang."

Rayer kemudian menukar subjek kepada menyelar Putrajaya terhadap isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum menyelar Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menghina calon DAP Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud dengan kenyataan "boneka".

Rayer menggekar Shahrizat sebagai "pencuri lembu" merujuk kepada skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Beliau turut mengejutkan Dewan apabila berkata Dyana lebih cantik dari Shahrizat.

Jahara kemudiannga mengarahkan beliau untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang menghina Dewan, dan mencabarnya mengeluarkan kenyataan serupa di luar Dewan terhadap Shahrizat.

"Berhenti bercakap isu remeh, kembali kepada isu pokok dan membahaskan kenyataan Yang di-Pertua demi kebaikan rakyat," katanya.

Drama itu bagaimanapun berteursan apabila Rayer menuduh Umno rasis, bersempena perhimpunan 18 Januari lalu di Seberang Jaya, apabila mereka didakwa berkata menimbulkan isu 13 Mei.

Himpunan yang dianjurkan membantah Adun Machang Bubuk Lee Khai Loon kerana flash mob 'I Love Kangkung' yang dikatakan menghina Najib menyaksikan beberapa pemimpin Umno dan ahli Parlimen Kepala Batas  Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengeluarkan kenyataan pedas.

"Celaka Umno mengugut rakyat. Berani mereka kata macam ini?" katanya.
Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) bangun dan menyeru Dewan menggunakan Peraturan 46(13) bagi menghentikan Rayer.

Rayer kemudiannya berkata beliau akan menggugurkan perkataan celaka namun enggan menarik balik kenyatannya.

Beliau kemudian menuduh Umno dan BN menyebabkan ketegangan kaum dan memastikan insiden 13 Mei tidak berulang adalah dengan menyingkirkan BN dari kerajaan. ‎– 20 Mei, 2014.

tmi

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...