Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Khamis, Mei 09, 2013

Selangor mampu jadi kubu Pakatan Rakyat


PENCAPAIAN kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dengan memperolehi lebih dua pertiga majoriti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan satu pencapaian terbaik Pakatan Rakyat Selangor.

Dengan memperolehi kerusi sebanyak 44 kerusi Dun jika dibandingkan Barisan Nasional (BN) yang hanya memperolehi 12 kerusi sahaja turut menyaksikan BN yang mempunyai masa depan yang gelap di negeri tersebut.

Pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) tahun 2008, Pakatan hanya memperolehi 36 kerusi sahaja dan BN mendapat 20 kerusi, menunjukkan peningkatan kerusi Pakatan Rakyat sebanyak lapan kerusi.

BN Selangor yang sebelum ini menggunakan slogan 'Sayangi Selangor, Yakini BN' dan pelbagai tawaran dalam manifesto mereka tetap gagal menarik perhatian pengundi Selangor, apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memegang jawatan sebagai Pengerusi BN Negeri Selangor turut gagal menjadi penyumbang undi kepada BN pada PRU13 yang lepas.

Kejayaan lebih dua pertiga majoriti yang di perolehi Pakatan Rakyat menunjukkan Selangor mampu mengikut jejak Kelantan yang mampu bertahan selama 23 tahun walaupun pelbagai serangan dilakukan BN untuk merampas negeri itu.

Sebelum ini, iaitu semasa pilihanraya tahun 2004 negara menyaksikan perbezaan kerusi dun di Kelantan hanya satu kerusi sahaja namun semangat muafakat dan kesetian kepada parti, PAS Kelantan mampu memerintah dengan baik sehingga tibanya PRU12.


(Dr Rani Othman, Pesuruhjaya PAS Selangor)

Senario ini perlu ditekankan di Selangor, jika negeri ini mahu menjadi salah satu kubu kuat Pakatan Rakyat untuk pilihanraya-pilihanraya yang akan datang dengan membuat penelitian serta gerak kerja baru untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi serta menembusi kubu kuat BN.

Walaupun mendapat lebih dua pertiga majoriti, terdapat beberapa kerusi Parlimen dan Dun gagal dipertahankan oleh Pakatan Rakyat. Misalnya Dun Bukit Melawati menyaksikan kekalahan calon PKR, Manikavasagam Sundaram dengan majoriti 806 undi.

PAS yang menebus kekalahan di Dun Sabak melalui calonya Sallehen Mukhyi dengan jumlah majoriti sebanyak 399 undi, pada 2008 beliau yang juga bertanding di kawasan tesebut telah kalah kepada BN sebanyak 117 undi majoriti sahaja.

Sementara itu, DAP yang juga menunjukkan peningkatan sokongan dengan mengambil kembali kerusi di Dun Kuala Kubu Baharu apabila Lee Kee Hiong yang terpaksa bertembung lima penjuru dan mengalahkan calon BN sebanyak 1,702 undi.

Walaupun Selangor menyaksikan pertembungan yang yang ramai melibatkan calon Bebas sama ada peringkat Parlimen mahupun Dun, namun ia tidak memberi kesan kepada kemaraan Pakatan Rakyat untuk terus menguasai negeri itu bagi melaksanakan janji-janji manifesto sebelum ini.

Mungkin belum masanya untuk Pakatan Rakyat menebusi Parlimen Tanjung Karang, apabila keputusan kali ini menyaksikan BN terus menguasai kedua-dua dun yang berada di bawah parlimen itu, Pakatan Rakyat Selangor perlu mencari satu formula baru untuk menarik lebih ramai pengundi untuk menyokong parti itu nanti.

Melalui tinjauan yang dibuat sebelum berlangsungnya PRU13, faktor pengundi Melayu di Parlimen Tanjung Karang memainkan peranan utama kepada kemenangan sesebuah parti itu, dengan penguasaan 73.32 peratus, manakala kaum Cina hanya 16.61 peratus dan India 9.80 peratus dan lain-lain 0.27 peratus.


(Tan Sri Khalid Ibrahim, pemacu kejayaan Pakatan di Selangor)

Formula khusus perlu diketengahkan oleh Pakatan Rakyat Selangor untuk kaum Melayu di Parlimen Tanjung Karang jika parti itu mahu menembusi kubu kuat BN.

Berita mengejutkan apabila Parlimen Kuala Selangor gagal dipertahankan oleh calon PAS, Dr Dzulkefly Ahmad yang tewas kepada calon BN dengan majoriti yang kecil jika dibandingkan undi rosak iaitu 460. Ini kerana Dr Dzulkefly merupakan individu yang disenangi oleh seluruh penduduk Kuala Selangor dan senang didekati.

Situasi kenapa undi rosak sebanyak 934 undi lebih tinggi dari undi majoriti perlu dikaji oleh seluruh jentera parti bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

PAS mengorak langkah dengan bergaya apabila kubu kuat BN di Dun Templer ditembusi dengan jumlah majoriti yang besar iaitu 7,467 undi. Pada PRU 2008 kerusi tersebut dimenangi BN dengan majoriti sebanyak 613 undi dan pada 2004 PAS melalui calonnya Dr Mohd Hatta Md Ramli juga turut kalah dengan majoriti cukup besar iaitu 7,625 undi.

Untuk PRU13 PAS berjaya menembus kekalahan mereka dengan merampas kerusi tersebut dengan menang bergaya.

Penguasaan PAS terus merebak di Dun Dusun Tua apabila Razaly Hassan mengalahkan calon BN, Ismail Sani dengan jumlah majoriti 4,071 undi, Dun Seri Serdang juga menunjukkan keputusan mengejut apabila memperolehi majoriti 16,251 undi. Pada PRU 2008 PAS kalah di Seri Serdang dengan majoriti hanya 45 undi sahaja.

Konflik pertindihan kerusi di Dun Semenyih dan Kota Damansara memberi kerugian yang besar kepada Pakatan Rakyat yang memberi kemenangan percuma kepada BN.

Sepatutnya isu ini dapat diselesaikan lebih awal dan setiap parti perlu bertolak ansur agar ia dapat memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.

Undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon PKR dan PSM di Semenyih telah melebihi undi yang diperolehi BN begitu juga di Kota Damansara, namun kecuaian kedua-dua parti yang turut meletakkan calon menyebabkan Pakatan Rakyat Selangor kehilangan dua kerusi yang cukup berharga.

Pada PRU12, Dun Sementa kecoh apabila calon PKR tidak bertanding di kawasan tersebut sehingga memberi kemenangan percuma kepada BN, namun PKR menutup kesilapan mereka setelah Dr Daroyah Alwi menang di kerusi tersebut.

Mohamed Hanipa Maidin (gambar) menewaskan orang kuat BN Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed di Parlimen Sepang, walaupun beliau turun sebagai calon 'underdog' dan menumpaskan Mohd Zin di kawasan yang beliau menangi sebelum ini.

Kehilangan Dr Dzulkefly di Parlimen dan digantikan dengan Mohamed Hanipa walaupun dalam bidang berlainan setidak-tidaknya memberi kelebihan kepada PAS untuk berhujah dalam konteks yang lain.

Apa yang pasti kekuatan Pakatan Rakyat menguasai Dewan Undangan Negeri pada persidangan kali ini akan memberikan kekuatan baru untuk membawa Selangor ke arah yang terbaik, rakyat mengharapkan wakil-wakil yang dipilih dapat berhujah dengan lebih berkesan kerana dasar kejayaan sebuah kerajaan itu terletak kepada kepimpinan mereka yang dipilih.

Pada PRU13, Negeri Selangor menyaksikan jumlah pengundi seramai 2,048,828 orang dengan pecahan kaum Melayu 50.21 peratus, Cina 34.06 peratus, India 14.39 peratus dan lain-lain sebanyak 1.34 peratus.

PAS yang bertanding sebanyak 21 kerusi berjaya memperolehi 15 kerusi (2008 - 8 kerusi dimenangi), PKR bertanding 21 kerusi memperolehi 14 kerusi (2008 - 15 kerusi dimenangi) dan DAP pula bertanding sebanyak 15 kerusi berjaya memenangi kesemua kerusi yang mereka bertanding iaitu 15 kerusi (2008 - 13 kerusi dimenangi).

Harakahdaily
    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...