Senarai Blog...Geng

Popular Posts

Rabu, Oktober 17, 2012

Anwar Ibrahim mahu jelajah seluruh negara Dedah isu laporan Audit 2011

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa kerajaan cuba melindungi sesetengah pihak dalam Laporan Ketua Audit 2011 yang diedarkan di Dewan Rakyat, kelmarin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini dapat dilihat apabila sebahagian daripada laporan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam pengurusan kerajaan.

Malah katanya, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menjelaskan jabatannya telah mengemukakan 547 teguran kepada agensi kerajaan.

“Kami (PR) telah meneliti laporan itu dan melihat berbilion duit hilang, ia dipadamkan begitu saja.
“Malah beberapa projek yang memberikan kesan kepada rakyat seperti rumah guru dan tentera banyak yang tergendala, tetapi mereka yang terbabit dalam pelaksanaan (projek) itu dimaafkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemimpin Pakatan Rakyat di Parlimen.

Oleh sebab itu, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, PR akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara bagi memberikan penerangan berhubung Laporan Ketua  Audit 2011.

Beliau turut menyatakan bahawa pembangkang tidak menolak pembangunan dalam isu Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor namun berpendirian bahawa nasib rakyat jangan sesekali diabaikan.

Menurutnya, beberapa kampung yang berada di lokasi projek Rapid itu kini terjejas akibat daripada projek berkenaan.

“Pembangkang tidak menolak pembangunan, tetapi apa yang dilihat sekarang, nasib rakyat mulai terabai, malah ada kawasan alternatif boleh dibangunkan untuk melaksanakan projek itu tanpa memusnahkan perkampungan berkenaan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa laporan alam sekitar masih belum dikeluarkan berhubung kesan perlaksanaan projek berkenaan,” katanya.

Anwar berkata, pembangkang mahu kerajaan lebih teliti dan memastikan nasib rakyat lebih terjamin dalam apa juga projek yang dilaksanakan.

Kekeliruan itu timbul ekoran ucapan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng ketika Himpunan Hijau Pengerang pada 30 September lalu yang dilaporkan berkata, Pakatan akan menghentikan projek Rapid sekiranya gabungan tiga parti itu mengambil alih Putrajaya.

Kenyataan itu berbeza dengan pendirian Pas seperti dinyatakan naib presidennya, Salahuddin Ayub yang mengakui kelebihan projek itu tetapi membantah tindakan pengambilan tanah di kampung tradisi masyarakat Pengerang.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S K Devamany berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib rakyat dalam setiap pembangunan yang dirancang.
Katanya, kerajaan turut menyediakan pelbagai infrastruktur dan kemudahan kepada penduduk Pengerang.

“Selain daripada pembangunan, kerajaan turut memberikan pampasan, menyediakan rumah dan tanah kepada penduduk setempat. Malah kawasan perkampungan itu, akan lebih tersusun dengan pelaksanaan projek yang dirancang oleh kerajaan,” katanya./SinarHarianOnline


    

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...